Kezaliman Israel antara agenda utama perbincangan sidang kemuncak ASEAN-GCC

- Advertisement -

RIYADH – Kezaliman Israel terhadap Palestin merupakan antara agenda utama yang akan dibincang oleh para pemimpin pada Sidang Kemuncak Pertama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di sini pada Jumaat.

Perbincangan itu selaras dengan pendirian tegas Malaysia dan kelantangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuang nasib penduduk Palestin sejak Israel berterusan menzalimi mereka termasuk melancarkan serangan serta krisis terbaru di Semenanjung Gaza.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak. Sehubungan itu, kehadiran kalangan pemimpin blok rantau ASEAN-GCC serta sidang kemuncak itu dilihat sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan dan mencari penyelesaian bersama dalam menangani penderitaan penduduk Palestin.

Sidang kemuncak itu diadakan buat julung kalinya setelah ASEAN dan GCC menjalinkan hubungan sejak 1990. GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia juga dijangka membincangkan hala tuju masa depan dan hubungan ASEAN-GCC selaras dengan hasrat ASEAN untuk menjalin hubungan lebih meluas dengan negara Asia Barat termasuk dari segi ekonomi dan kerjasama tenaga.

Selain Anwar, ketua negara ASEAN yang sudah mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak itu ialah Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Anwar, yang akan tiba di sini esok, juga dijadual mengadakan perbincangan berkaitan pelaburan dengan beberapa firma selain bertemu rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Riyadh.

Beliau turut dijadual menghadap Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada Sabtu bagi membincangkan lebih lanjut isu Palestin dan hubungan dua hala.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Sementara itu, media tempatan Riyadh Daily melaporkan bahawa Majlis Peringkat Menteri GCC mengadakan sesi khas bagi membincangkan perkembangan di Gaza dan kawasan sekitarnya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Oman Sayyid Badr bin Hamad bin Hamoud Al Busaidi, yang juga Pengerusi Majlis Peringkat Menteri GCC, dengan penyertaan Menteri-Menteri Luar dan Setiausaha Agung GCC Jassim Albudaiwi.

Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah turut mengambil bahagian pada sesi mesyuarat ke-43 itu.

Agensi berita Anadolu pula melaporkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bermesyuarat di Jeddah mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Hospital Arab Al-Ahli di Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk segera campur tangan bagi menghentikan jenayah perang itu serta menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat