PRN Melaka: PH Kesal Kenyataan SPR Hanya Pengundi Lengkap Vaksin Boleh Mengundi

- Advertisement -

CYBERJAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini melahirkan kekesalan susulan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa hanya pengundi yang telah lengkap vaksin Covid-19 boleh mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Memetik laporan Sinar, Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan media berkata, tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan memilih.

“Sungguhpun PH menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang.

“Kami menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian silap ini untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Terdahulu, Pengerusi SPR pada Isnin mengumumkan 20 November depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka.

Beliau turut dilapor menyatakan hanya pengundi yang lengkap divaksin akan dibenarkan mengundi pada PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkata mereka kurang bersetuju dengan pengumuman SPR berhubung PRN Melaka.

“Kami juga berpendirian bahawa waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN, memandangkan penularan wabak Covid-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru hendak mula dibuka semula dan kerisauan berlakunya gelombang keempat.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

“Walau bagaimanapun, PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat