Masalah Bekalan Air Di Daerah Pitas Akan Selesai November 2022 – Mahdzir Khalid

- Advertisement -

KOTA MARUDU – Masalah bekalan air bersih di daerah Pitas dijangka selesai apabila Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kedua Pitas, siap pada November tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, loji bernilai RM37.8 juta itu akan memberi manfaat kepada penduduk di 30 buah kampung di daerah ini.

“Dengan pertambahan (loji rawatan air pertama dan kedua), jadi sekarang (Pitas) sudah ada 14 JLH (bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk). Tetapi, saya tahu ada lagi kawasan kampung belum dapat (kemudahan bekalan air bersih).

“Justeru, (loji rawatan air) perlu ditambah sekurang-kurangnya 10 JLH lagi di masa depan. Projek loji rawatan air kedua Pitas fasa pertama ini akan siap pada 2022 dan ada lagi fasa dua dan fasa tiga (bagi memenuhi keperluan bekalan air bersih penduduk),” katanya, ketika ditemui pemberita selepas melawat penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bina Baharu di Kampung Tanjung Batu, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Mahdzir meninjau tapak pembinaan LRA Kedua Pitas dan mendengar taklimat ringkas berkaitan Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Jalan Luar Bandar Pitas yang merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja selama tiga hari beliau ke Sabah.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya negeri.

Mahdzir berkata, loji rawatan air berkapasiti 10 Juta Liter Sehari (JLH) itu dilihat mampu menyelesaikan masalah penduduk kampung yang selama ini belum memperoleh bekalan air bersih.

Loji rawatan air yang sedang dalam pembinaan itu adalah tambahan kepada loji rawatan air sedia ada yang hanya berkapasiti 4 JLH.

Ia merupakan projek fasa pertama bagi menyediakan kemudahan air bersih kepada penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Mahdzir mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi memperkasa peranan antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menyelesaikan isu bekalan air di kawasan luar bandar.

“Ini termasuk menaik taraf infrastruktur bekalan air luar bandar meliputi loji rawatan air dan sistem agihan serta perpaipan lama.

“Ada peruntukan retikulasi di bawah KPLB tetapi ada juga di bawah tanggungjawab KASA. Justeru, perlu ada kolaborasi kerana matlamatnya adalah sama untuk membantu rakyat di luar bandar,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat