KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen mengesan wujud rangkaian kartel yang kini dalam siasatan, membabitkan kegiatan pegawai senior merekrut petugas baru supaya menyertai salah laku rasuah dalam jabatan itu di pintu masuk negara secara ‘counter setting’ bagi memperoleh habuan lumayan.
Tindakan itu dikatakan wujud sejak kegiatan counter setting atau penetapan kaunter dikesan dalam jabatan itu sejak 2017 dan keengganan mana-mana pegawai baharu menurut arahan kumpulan terbabit akan menyebabkan mereka diboikot dan dipulaukan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban ketika mendedahkan kegiatan itu, mengakui ramai lagi pegawai Imigresen yang terbabit salah laku rasuah di pintu masuk negara akan dikenakan tindakan selepas ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik BH beliau berkata, pemantauan terhadap mereka yang terbabit terus dilakukan pihaknya untuk mengumpulkan semua bukti bagi memastikan pegawai yang menjejaskan integriti Imigresen itu kelak bukan setakat dikenakan tindakan tatatertib dalaman, tetapi didakwa secara jenayah.
“Sebenarnya tangkapan dibuat PDRM dan SPRM terhadap kakitangan Imigresen yang terbabit jenayah rasuah di pintu masuk negara adalah susulan maklumat yang kita berikan kepada mereka kerana jika tindakan dibuat pihak kita saja, mereka yang bersalah hanya dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.
“Namun, jika tindakan jenayah diambil, mereka juga boleh didakwa di mahkamah dengan rampasan dibuat terhadap aset atau wang diperoleh hasil salah laku itu, sekali gus membanteras kegiatan ini.
“Kita akui salah laku ini masih berterusan dan ramai lagi pegawai Imigresen terbabit walaupun tindakan tegas sudah diambil, ini disebabkan budaya kartel yang tersusun dan berstruktur secara merekrut anggota baharu bagi meneruskan kegiatan yang menawarkan habuan lumayan itu, kita tahu siapa mereka,” lapor akhbar itu pada Khamis.
Dalam Ops Rentas dijalankan serentak di empat negeri sejak Selasa minggu lalu, Bahagian Perisikan SPRM mengesan ada pegawai Imigresen menyimpan hasil rasuah lebih RM1 juta dalam akaun Tabung Haji (TH), selain lebih RM400,000 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
SPRM Selangor dalam Ops Rentas di negeri itu, menyita pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas kira-kira 3.2 kilogram bernilai RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 daripada enam individu termasuk lima pegawai Imigresen bertugas di pintu masuk negara.
Selain itu, sepasang suami isteri pegawai imigresen yang direman di Melaka, bukan setakat mengumpul kekayaan dengan membeli barangan kemas tetapi mampu membuka sebuah kedai emas dengan simpanan logam itu bernilai RM1.4 juta, hasil rasuah memanipulasi proses pemutihan pendatang tanpa izin sebagai pekerja asing di negara ini.
Pasangan suspek berusia 40-an itu dikesan SPRM membuka kedai emas di Pahang, bermodalkan wang rasuah RM600,000 yang dikumpul sejak 2020.
Bagi melindungi kegiatan mereka, pasangan terbabit melantik adik kepada pegawai wanita berkenaan dan anak sendiri sebagai pengendali premis itu.
Zakaria berkata, pihaknya menerima aduan berterusan berhubung kes rasuah di pintu masuk negara dan akan berkongsi maklumat itu dengan SPRM dan PDRM supaya siasatan lanjut lebih terperinci dilakukan.
Sebagai contoh, katanya, SPRM akan meneliti kes itu dan mengesan hasil diperoleh pegawai terbabit dalam kegiatan yang boleh dikaitkan pembabitannya bagi memudahkan pendakwaan dibuat.
“Jika hanya Imigresen ambil tindakan, kita akan tukar pegawai itu dan kes habis setakat itu saja, menyebabkan individu terbabit rasa selamat. Namun jika kes dikendalikan SPRM atau PDRM, dengan bukti yang ada mereka akan ditangkap dan didakwa.
“Masih ramai lagi bakal kena tindakan selepas ini, saya tidak boleh bagi angka tepat tapi mereka dalam pemantauan kita. Ada yang sudah lama terbabit salah laku ini, ada juga yang baru mula terjebak,” katanya.
Mengulas habuan diperoleh pegawai Imigresen yang terbabit rasuah itu, Zakaria mengakui, kebanyakan mereka dilihat menikmati gaya hidup mewah dengan membeli aset dan kenderaan mahal.
Beliau berkata, taktik licik dikesan digunakan mereka untuk menyembunyikan hasil kekayaan dari rasuah itu, termasuk pembelian aset mewah yang didaftarkan atas nama individu lain bagi mengaburi siasatan.
“Inilah cabaran terbesar kita dari segi tindakan tatatertib dalaman. Kalau harta itu bukan atas nama mereka, sukar untuk kita kaitkan kakitangan terbabit secara langsung,” katanya.



