KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah bersama tiga lagi plaintif memfailkan saman terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY), menuntut ganti rugi RM2.4 bilion berhubung dakwaan kecuaian dalam pengauditan penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) selama 12 tahun.
Saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai 2026 oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd.
Plaintif mendakwa EY melanggar kewajipan berjaga-jaga ketika menjalankan audit berkanun terhadap penyata kewangan SDB bagi tahun kewangan berakhir 2011 hingga 2022.
Plaintif mendakwa SDB sudah berada dalam keadaan tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018 apabila sebahagian besar portfolio pinjamannya merupakan pinjaman tidak berbayar (NPL).
Walaupun berdepan kedudukan berkenaan, EY didakwa terus mengeluarkan pendapat audit tanpa pengecualian bagi tahun kewangan 2018 hingga 2022, termasuk menyatakan penyata kewangan berkenaan memberikan gambaran benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan SDB.
Menurut dokumen mahkamah, SDB kemudiannya menerbitkan program Kertas Komersial dan Nota Jangka Sederhana bernilai RM3 bilion pada 2021, yang didakwa bergantung kepada pendapat audit tanpa pengecualian EY bagi tahun kewangan 2020.
Kerajaan Sabah mendakwa keadaan itu menyebabkan pihaknya tidak mengetahui kedudukan kewangan sebenar SDB sehingga pelantikan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan baharu pada 2023.
Hasil semakan pengurusan baharu itu didakwa menemukan NPL sekitar RM5 bilion, mewakili hampir 70 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman SDB.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira RM3 bilion atau 60 peratus dikatakan berpunca daripada pinjaman kepada pihak di Semenanjung Malaysia.
Plaintif turut mendakwa sebanyak RM5.195 bilion daripada aset sekuriti bernilai RM6.8 bilion mempunyai nilai yang diragui kerana antara lain bersandarkan penilaian lapuk, andaian tidak realistik atau nilai projek yang telah terbengkalai.
Dokumen itu juga membangkitkan dakwaan berlakunya amalan “ever-greening”, iaitu pemberian kredit baharu kepada peminjam bermasalah supaya dana tersebut boleh digunakan untuk membayar hutang lama sekali gus mengelakkan pinjaman asal diklasifikasikan sebagai NPL.
Bagi tahun kewangan 2023, SDB merekodkan kerugian sebelum cukai RM878.05 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM96.01 juta pada tahun sebelumnya.
Plaintif mendakwa kerugian berkenaan antara lain berpunca daripada peruntukan kerugian kredit yang tidak mencukupi, penilaian cagaran yang lapuk serta kegagalan mengiktiraf kemerosotan nilai pinjaman pada tahun-tahun terdahulu.
Dalam saman itu, plaintif menuntut EY membayar RM2.4 bilion yang merangkumi:
• RM650 juta bagi deposit tetap Kerajaan Sabah yang dilucutkan hak pada November 2023;
• RM90 juta suntikan modal pada Disember 2023 dan Oktober 2024;
• RM660 juta deposit tetap yang dipersetujui untuk ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus; dan
• RM1 bilion bagi kerugian berterusan dan masa hadapan berkaitan liabiliti SDB yang dijangka perlu dibiayai sehingga September 2029.
Plaintif turut memohon deklarasi bahawa EY cuai serta melanggar kewajipan berkanun dan kewajipan di sisi undang-undang am.
Selain RM2.4 bilion itu, mereka menuntut ganti rugi am, punitif dan teladan, faedah prapenghakiman, faedah pascapenghakiman lima peratus setahun serta kos.
Semua dakwaan berkenaan terkandung dalam Pernyataan Tuntutan plaintif dan masih belum diputuskan oleh mahkamah.
Setakat ini, belum diketahui sama ada EY sudah memfailkan pembelaan atau memberikan jawapan terhadap dakwaan tersebut. Usaha mendapatkan maklum balas firma berkenaan sedang dilakukan.



