Formula Kerjasama BN-PN Berjaya, Mandat Rakyat Penentu Kemenangan – Jalaluddin

SEREMBAN — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berjaya apabila kedua-dua gabungan memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Mengulas pertanyaan media mengenai keberkesanan kejayaan kerjasama tersebut bukan sekadar bergantung kepada formula politik semata-mata, sebaliknya lahir daripada keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang mampu mentadbir negeri dengan baik.

“Bukan soal formula semata-mata, tetapi yang penting rakyat sedang menunggu parti mana yang mampu terus memimpin demi kebaikan semua rakyat yang berbilang kaum dan bangsa di Negeri Sembilan.

“Formula itu membantu, namun akhirnya rakyat yang membuat keputusan. Mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mampu membawa negeri ini ke arah yang lebih baik.

Menurut beliau, keputusan yang dicapai membuktikan rakyat Negeri Sembilan menolak politik kebencian serta sentimen perkauman, sebaliknya memilih sebuah gabungan yang mengutamakan perpaduan dan kestabilan.

“Tentunya rakyat menolak unsur-unsur kebencian. Rakyat juga menolak unsur-unsur yang berkaitan dengan perkauman.

“Justeru, rakyat dan para pengundi di seluruh Negeri Sembilan, daripada kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta kaum-kaum lain, terus memberikan kepercayaan kepada gabungan ini.

“Ini menunjukkan rakyat mahu sebuah kerajaan yang menyatukan semua kaum dan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.

Beliau turut melahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada seluruh pengundi yang memberikan kepercayaan kepada gabungan BN-PN sehingga berjaya memperoleh kemenangan besar.

“Saya mengucapkan rasa amat terharu dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya para pengundi yang telah memberikan mandat besar ini.

“Saya juga memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kemenangan yang luar biasa ini. Mandat ini bukan untuk diraikan semata-mata, tetapi merupakan amanah besar yang perlu kami laksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Jalaluddin berkata, walaupun beliau tidak menjangkakan kemenangan dengan jumlah kerusi yang begitu besar, keputusan tersebut menjadi pemangkin kepada kerajaan baharu untuk memperkukuhkan lagi pentadbiran negeri.

“Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan yang begitu besar, Alhamdulillah, mandat dan amanah ini menjadi tanggungjawab kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk terus memperhebat pentadbiran Negeri Sembilan.

“Insya-Allah, kita akan memastikan setiap dasar dan keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Mengulas persepsi bahawa BN mengambil masa untuk membuat keputusan selepas pilihan raya, Jalaluddin berkata keutamaan ketika ini adalah menyatukan semua pihak bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan lancar.

“Kehadapan, kita akan menyatukan semula semua pihak, terutamanya parti-parti politik, supaya kita dapat terus berkhidmat kepada rakyat.

“Yang paling penting ialah memastikan kemakmuran negeri ini menjadi tanggungjawab bersama. Pilihan raya telah selesai, sekarang adalah masa untuk kita bekerja demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bila majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau memaklumkan tarikh rasmi belum ditetapkan.

“Belum lagi… secepat mungkin. Bermula daripada saat ini. As soon as possible.

Namun apabila diajukan soalan sama ada beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar, Jalaluddin hanya tersenyum sebelum menjawab ringkas bahawa perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

“Itu kena tanya presiden saya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat