KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu membuktikan tidak sia-sia berbudi kepada tanah apabila berjaya menuai hasil tanaman bawang yang disemai di tepi rumahnya.
“Alhamdulillah semalam Bang Mat dah dapat tuai hasil pertama bawang merah yang ditanam di tepi rumah kuarters Bang Mat.
“Kawasannya kecil sahaja, tapi hasilnya cukup untuk membuktikan penanaman bawang boleh dibuat walaupun hanya di pekarangan rumah.
“Kalau ramai rakyat kita mula amalkan budaya tanam sendiri sayur-sayuran dan bahan asas seperti bawang, Insya-Allah suatu hari nanti kita tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber luar,” ujar Presiden Amanah itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memberitahu, selain dapat menjimatkan belanja dapur, aktiviti ini juga menyeronokkan malah menjadi sumbangan kecil kita kepada usaha mengurangkan jurang import makanan negara.
“Mari kita mulakan dari halaman rumah kita sendiri,” seru Mat Sabu.



