KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengemukakan syor kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia supaya mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi tatacara pemakaian dan penyimpanan rakaman kamera badan oleh pegawai serta anggota Imigresen yang terlibat
dalam operasi penguatkuasaan.
EAIC berkata, syor ini bertujuan memastikan ketelusan pelaksanaan tugas dan mengelakkan sebarang tohmahan daripada orang awam pada masa hadapan. P
Tegas EAIC, pelaksanaan SOP ini adalah penting bagi memastikan integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan serta mempertingkatkan kepercayaan awam terhadap agensi.
Cadangan ini susulan, EAIC telah menerima aduan berhubung dakwaan kekasaran oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) terhadap seorang individu semasa operasi penguatkuasaan pada 25 Jun 2024.
“Berikutan itu, siasatan telah dilaksanakan mengikut peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Bagaimanapun kertas siasatan polis yang dibuka berkaitan insiden ini telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action – NFA) oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.
“Berdasarkan keterangan, individu yang membuat aduan tidak dapat mengecam atau mengenal pasti mana-mana pegawai atau anggota yang didakwa mengasarinya;
Rakaman kamera badan (body camera) tidak dapat diperolehi kerana data rakaman hanya disimpan selama 30 hari.
“Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak dapat diperoleh kerana peralatan CCTV tersebut telah dicabut sejurus selepas pihak JIM WPKL menyerbu masuk ke premis tersebut; dan semua pegawai dan anggota JIM WPKL yang terlibat dalam operasi berkenaan telah memberikan keterangan menafikan sebarang kekasaran atau tindakan memukul individu terbabit,” ujar EAIC dalam kenyataan.



