KUALA LUMPUR, 18 Julai — Bagi memulih dan mengekalkan daya saing ekonomi pascapandemik COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan rakyat supaya “berbelanjalah untuk Malaysia”.
Beliau berkata pengguna perlu memastikan setiap perbelanjaan adalah lebih nilai untuk wang ke atas produk termasuk produk tempatan yang berkualiti.
“Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi akan dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambahkan hasil pendapatan rakyat,” katanya semasa melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Suria KLCC di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata pandemik COVID-19 merupakan detik sukar dan mencabar buat negara, yang turut menyaksikan hampir semua negara mengambil langkah ‘berkurung’ dan terpaksa menutup sektor ekonomi masing-masing, satu fenomena dikenali sebagai “The Great Lockdown”.
— BERNAMA