SUBANG,- Malaysia terus memperkukuh agenda pendigitalan negara dengan memberi tumpuan kepada aspek daya tahan digital dan keterangkuman teknologi sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) serta Girls in ICT (GICT) 2026 yang berlangsung di Saujana Hotel Subang hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Program anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri, rakan antarabangsa, ahli akademik, pelajar serta pengamal media bagi memperkukuh kerjasama dalam memacu pembangunan digital negara.
Sambutan WTISD tahun ini membawa tema “Digital Lifelines: Strengthening Resilience in a Connected World”, manakala Girls in ICT 2026 mengetengahkan tema “AI for Development: Girls Shaping the Digital Future”.
Tema tersebut memberi penekanan kepada kepentingan infrastruktur digital dalam memastikan kesinambungan ekonomi, keselamatan awam dan ketahanan masyarakat dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi.
Dalam masa sama, Girls in ICT memberi fokus kepada usaha memperkasa golongan kanak-kanak perempuan dan wanita muda supaya lebih aktif dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital.
Menurut kementerian, kerajaan terus memperkukuh kesalinghubungan digital negara menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan rangkaian 5G serta projek Sambungan Kabel Dasar Laut (SALAM).
Setakat ini, liputan 5G di kawasan berpenduduk negara dilaporkan telah melebihi 82 peratus, manakala kadar penggunaan internet nasional mencapai 98.4 peratus bagi lelaki dan 97.6 peratus bagi wanita.
Usaha memperluas penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital turut diperkasakan menerusi inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini merekodkan hampir 1.9 juta pengguna berdaftar dengan 53 peratus daripadanya terdiri daripada wanita.
Antara inisiatif utama di bawah program itu ialah NADI EmpowerHER yang bertujuan meningkatkan kemahiran digital, keusahawanan serta peluang sosioekonomi golongan wanita melalui latihan dan pembangunan kapasiti.
Kementerian Komunikasi turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati secara menyeluruh menerusi pembangunan ekosistem digital yang selamat, inklusif dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Malaysia juga terus memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa sebagai Ahli Majlis International Telecommunication Union (ITU) dalam memperkukuh kerjasama global berkaitan pembangunan teknologi komunikasi dan digital.



