PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pelantikan menteri tanpa mengira latar belakang kaum tidak akan mengakibatkan penindasan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya dilaksanakan bagi memastikan tadbir urus negara yang adil, inklusif serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Beliau berkata, pelantikan seorang menteri berbangsa Cina tidak bermakna kepentingan orang Melayu akan diketepikan, sama seperti pelantikan menteri Melayu yang diberi amanah mengendalikan portfolio Wilayah Persekutuan tidak bermaksud hanya menjaga kepentingan orang Melayu semata-mata.
“Ini tidak semestinya bermakna pelantikan menteri berbangsa Cina akan menyebabkan orang Melayu ditindas. Begitu juga, jika seorang menteri Melayu diberi amanah mengendalikan portfolio Wilayah Persekutuan, ia tidak bermakna menteri itu hanya akan menjaga kepentingan orang Melayu sahaja.
“Datuk Bandar adalah orang Melayu dan tadbir urus memerlukan kerja berpasukan. Tanggungjawab kita adalah untuk membantu, berkhidmat dan memastikan keadilan kepada semua komuniti tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya pada sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Mengulas hala tuju kepemimpinan kerajaan, Anwar berkata negara kini menyaksikan kemunculan barisan pemimpin baharu yang majoritinya terdiri daripada generasi muda berpengalaman dan boleh dianggap sebagai generasi kedua serta ketiga dalam kepemimpinan parti.
“Jika dilihat secara keseluruhan, kita dapat melihat kemunculan barisan kepemimpinan baharu yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang mempunyai pengalaman dan kefahaman mendalam tentang tadbir urus.
“Mereka ini boleh dianggap sebagai generasi kedua dan ketiga dalam kepemimpinan parti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penempatan individu baharu dalam barisan kepemimpinan kerajaan kebanyakannya melibatkan golongan muda seperti Taufiq, Akmal, Mustapha dan Arthur.
“Mereka ini generasi kedua dan ketiga. Kebanyakan mereka dalam lingkungan usia 40-an, Taufiq pula berusia 29 tahun, manakala yang lain lewat 30-an. Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita tonjolkan perkara ini.
“Mengapa saya tidak berbuat demikian sebelum ini? Kerana pada peringkat awal, kita perlu memastikan gabungan ini diperkukuh dan disatukan terlebih dahulu. Tetapi kini saya berpendapat kita sudah cukup kuat. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada orang lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, beliau berkata perjalanan politik tokoh itu bukan sesuatu yang mudah dan tidak berlaku dalam tempoh singkat.
“Ambil contoh Dr Zaliha Mustafa. Beliau bersama parti sejak awal penubuhan dan perjalanannya bukan mudah. Ia tidak berlaku dalam tempoh singkat. Ada ketika beliau melalui fasa yang sangat mencabar, namun akhirnya beliau berjaya.
“Saya percaya beliau juga memahami bahawa saya mempunyai ruang dan tanggungjawab untuk mengembangkan barisan kepemimpinan dan pada masa yang sama memastikan beliau terus melaksanakan peranan yang diamanahkan sebelum memberi laluan kepada wajah-wajah baharu,” katanya.
Beliau juga memuji keberanian Dr Zaliha ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.
“Zaliha adalah tulang belakang parti sejak awal penubuhan. Sebagai Menteri Wilayah, beliau bekerja dengan sangat keras, termasuk memecahkan kartel dalam kalangan peniaga dan peniaga kecil. Itu memerlukan keberanian besar dan beliau melakukannya dengan baik.
“Namun saya percaya beliau juga memahami bahawa saya mempunyai keterbatasan dan tanggungjawab untuk memastikan pembaharuan ini berjalan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menghargai sumbangan Dr Na’im yang disifatkan telah bekerja keras dalam memperkukuh institusi agama negara.
“Dr Na’im telah melakukan yang terbaik. Beliau bekerja keras, mencuba sedaya upaya dan telah menetapkan agendanya untuk institusi agama. Itu tidak dinafikan.
“Namun saya fikir sudah tiba masanya beliau berkhidmat dalam peranan lain dan memberi ruang kepada pasukan yang lebih muda supaya mereka boleh bertindak dengan lebih tegas dan lebih inklusif,” katanya.



