Musa Aman TYT Sabah: Penghinaan kepada pengundi PH, kerajaan cuma mahu kekal kuasa – MUDA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menganggap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah berkuat kuasa 1 Januari 2025 sebagai satu lagi penghinaan kepada pengundi Pakatan Harapan (PH) selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan dan dibebaskan atas 40 pertuduhan menerima rasuah.

Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata, Kerajaan Perpaduan yang dikemudi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi berminat memperjuangkan reformasi sebaliknya hanya ingin kekal berkuasa.

“Pada tahun 2022, Muda bekerjasama dengan dengan PH menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebab kita fikirkan Anwar akan benar-benar perjuangkan reformasi.

“Tahun lepas kami tarik sokongan sebab jelas yang PMX tak berminat pun dengan reformasi tapi lebih berminat untuk kekal berkuasa; 47 kes rasuah TPM dapat DNAA; satu persatu RUU regresif lepas dalam Dewan Rakyat dan hari ini pengundi PH yang menyokong Harapan pada 2022 dapat lagi satu insult (penghinaan) Musa Aman dilantik sebagai TYT Sabah.

“Kita lupa ke apa yang Musa Aman pernah buat, kita lupa yang Musa Aman pernah dilepas dan dibebaskan (mungkin) ada yang akan kata itu keputusan Agong, macam biasalah kerajaan ini memang suka sembunyi belakang Agong, tapi jangan lupa Agong dilantik atas nasihat Ketua Menteri… dan Ketua Menteri dari GRS yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini,” bidas Amira Aisya dalam video yang dimuat naik di akaun media sosialnya pada Selasa.

Adun Puteri Wangsa itu malah memberitahu sudah hilang kata-kata dengan tindak-tanduk kerajaan.

“Saya sebenarnya dah tak tahu nak kata apa dah tentang kerajaan pada hari ini, tentang macam mana mereka membelakangkan reformasi.

“Kalau masih ada (individu) yang nak back up (pertahan) PMX (konon) minta semua orang untuk beri ruang pada PMX untuk PMX buat reform…sedarlah, yang hanya satu benda kerajaan ini nak ialah kerajaan ini nak kekal jadi kerajaan,” tegas beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Muda Leben Siddarth pula berkata, pelantikan Musa Aman sebagai TYT adalah satu keputusan yang memalukan dan melemahkan

kepercayaan rakyat terhadap janji reformasi serta prinsip ketelusan yang selama ini dilaungkan.

Ujar beliau, bagaimanakah seorang individu yang pernah berhadapan dengan lebih 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram — melibatkan konsesi kayu bernilai lebih seratus juta dolar Amerika — diangkat ke jawatan tertinggi sebegitu?

“Meskipun beliau dibebaskan pada tahun 2020, penarikan balik pertuduhan itu terus membayangi kredibiliti sistem keadilan kita, menimbulkan pertanyaan: Adakah kuasa politik campur tangan sekali lagi?

“Lebih mengecewakan adalah kebisuan Kerajaan Perpaduan, sebuah entiti yang kononnya mahu menetapkan penanda aras baharu dalam kepimpinan berintegriti. Apakah ini contoh yang ingin ditonjolkan kepada rakyat? Bahawa pelantikan individu berkepentingan boleh diterima meskipun sejarahnya sampah? Adakah ini tanda kerajaan perpaduan sedang mencipta asas untuk menjadi kartel jenayah politik moden, yang tidak peduli pada suara rakyat dan prinsip keadilan?

“Fahmi Fadzil, jurucakap utama Kerajaan Perpaduan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, dahulu adalah individu yang lantang bersuara menentang isu-isu sebegini dan rasuah. Namun kini, beliau memilih untuk diam seribu bahasa. Apa gunanya menjadi jurucakap jika isu sebesar ini tidak diangkat dan dipersoalkan?

“Kepada Fahmi, ingatlah — menjadi seorang ahli politik bukan sekadar peranan seperti seorang pelakon di layar perak. Anda boleh menjadi seorang pelakon yang gagal dalam filem yang tidak laku, tetapi anda tidak boleh menjadi menteri atau pemimpin yang gagal dalam menjaga masa depan Malaysia. Kegagalan sebagai pemimpin membawa kesan drastik yang memudaratkan negara dan rakyatnya,” kata Leben Siddarth.

Tegas beliau lagi, Kerajaan Perpaduan harus berhenti bermain sandiwara politik. Jika mereka benar-benar mahu membina Malaysia yang baharu, maka mereka harus berani menolak pelantikan yang jelas mencalarkan prinsip ketelusan dan keadilan. Jangan biarkan sejarah kelam rasuah berulang.

“Jangan biarkan negara ini dirundung nasib akibat kepimpinan yang gagal dan tidak amanah.

“Muda menyeru semua pemimpin, tanpa mengira parti, untuk bangkit menegakkan kebenaran.

“Kepada kerajaan perpaduan dan jurucakapnya — rakyat sedang memerhati, dan sejarah tidak pernah memaafkan kebisuan dalam menentang ketidakadilan. Jangan jadi pelakon di pentas politik yang berpura-pura ketika negara mendambakan kepimpinan sejati.

“Malaysia memerlukan pemimpin yang berani menolak isu-isu ini, bukan mereka yang tunduk kepada permainan kuasa.

“Bangkitlah! Suara rakyat itu kuasa, dan masa untuk bersuara sudah tiba. Kita tuntut keadilan, kita tuntut ketelusan. Jangan biarkan kebisuan menjadi tanda setuju terhadap pengkhianatan amanah rakyat! seru beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat