Setahun Reformasi Institusi – Memperkasa Akses Keadilan Untuk Semua.

- Advertisement -

Dalam usaha untuk memberi keadilan yang saksama kepada semua, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa akses terhadap bantuan guaman tidak menjadi satu perjalanan yang rumit terutamanya bagi golongan yang perpendapatan rendah.

Bukti terhadap komitmen tersebut dapat dilihat apabila bilangan kes sivil dan syariah yang mendapat bantuan guaman meningkat kepada 8,500 kes susulan kenaikan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman berasaskan pendapatan tahunan daripada RM30,000 kepada RM50,000 setahun.

Dato’ Norazmi Mohd. Narawi, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) berkata bahawa ”Orang ramai yang layak perlu diberi peluang untuk mendapatkan keadilan melalui saluran undang-undang yang betul tanpa membebankan kewangan mereka.”

Walau bagaimanapun, masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh JBG termasuk mengetahui hak-hak mereka yang boleh dipertahankan. Selain daripada itu juga, terdapat isu kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung akibat kos guaman yang tinggi dan adakalanya kes tersebut terpaksa mengambil masa yang terlalu panjang untuk mendapatkan keadilan selayaknya.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said memberi komitmen yang khusus untuk memastikan bukan setakat perkhidmatan bantuan guaman disampaikan dengan berkesan tetapi kaedah dan akses untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut juga akan ditambahbaik.

Azalina berkata, ”Ketika ini terdapat beberapa penyedia perkhidmatan bantuan guaman bagi kes-kes jenayah di Malaysia termasuk JBG, Legal Aid Centre yang dikendalikan oleh Majlis Peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Klinik Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh pihak universiti.” Perkhidmatan bantuan guaman ini merupakan komponen yang penting untuk membantu rakyat yang tidak mampu menanggung kos guaman dalam proses mendapatkan keadilan.

Bantuan guaman yang disediakan oleh JBG bukan setakat menanggung kos guaman tetapi turut menyediakan khidmat nasihat dalam pelbagai aspek perundangan termasuk mengesyorkan kaedah penyelesaian pertikaian yang lebih efektif melalui perkhidmatan pengantara atau mediasi.

Azalina turut menjelaskan bahawa JBG akan memberi tumputan kepada khidmat prosiding sulh (mediasi) bagi kes syariah dan tidak lagi kepada khidmat bantuan peguam panel. Ini kerana kes syariah yang sering dirujuk ke JBG boleh diselesaikan di luar mahkamah melalui khidmat mediasi sahaja.I

ni kerana kebanyakan kes syariah adalah melibatkan mencari jalan penyelesaian di antara dua pihak dan proses mediasi ini amat penting bagi memupuk suasana yang damai dan harmoni setelah pertikaian tersebut selesai.

Bekas hakim, bekas peguam, peguam swasta dan pengamal undang-undang badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai pengalaman dan kepakaran boleh dilantik sebagai pengantara bagi menjalankan proses mediasi tersebut. Mereka akan menjadi orang tengah dalam usaha membantu pihak bertikai mencapai kata sepakat tanpa perlu dibawa ke mahkamah tertakluk kepada kes-kes yang perlu dikendalikan.

Lantikan ini bagi memperkasakan perkhidmatan pengantara dalam penggalakkan penyelesaian kes di luar mahkamah yang mana bidang kuasa melantik ini terletak di bawah Ketua Pengarah JBG sendiri.

Tambahan lagi, sesi pengantara atau mediasi ini boleh dijalankan secara dalam talian tanpa melibatkan pertemuan fizikal bagi memudahkan masyarakat selain mengurangkan kos pengangkutan semua pihak yang terlibat. Kaedah pelaksanaan seperti ini penting terutamanya bagi memastikan masyarakat di kawasan pendalaman bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman.

Selaras dengan perkembangan dunia digital, JBG juga telah melancarkan aplikasi eKlinik 6G JBG pada Oktober tahun ini. Aplikasi tersebut memudahkan orang ramai untuk memohon untuk mengadakan klinik guaman, literasi undang-undang, ceramah, forum dan pameran di lokasi pilihan pemohon.

Antara perkhidmatan disediakan ialah permohonan guaman jenayah, sivil, syariah, pengantaraan, khidmat nasihat guaman dan khidmat pendamping guaman yang dirujuk sebagai 6G.

Secara keseluruhan, tahun 2023 merupakan permulaan kepada usaha kerajaan untuk membawa agenda reformasi terhadap perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat. Setahun ini jugalah Kerajaan melalui Dato’ Sri Azalina telah mengenalpasti segala cabaran dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Setahun ini jugalah kerajaan telah memperkenalkan pelbagai agenda reformasi untuk mendepani cabaran tersebut sekaligus menjadikan kebajikan rakyat terus terbela.

Segala agenda reformasi dan penambahbaikan yang dijalankan pada tahun ini hanya boleh dinilai pada tahun-tahun berikutnya. Komitmen Kerajaan Perpaduan sentiasa berteraskan kepada pemberian manfaat terbesar untuk rakyat dan dalam usaha tersebut, seharusnya kejayaan agenda reformasi ini perlu diukur terhadap sejauh mana kesusahan dan kepayahan rakyat dapat diatasi.

Oleh Shah Johan, Pemerhati Undang-undang

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat