Di sebalik kejayaan single sulung “Korban Rindu” yang melonjakkan nama Putera Bobo sebagai bakat remaja paling menonjol tahun ini, terselit peranan besar ibunya, Elyani Queen, yang menjadi nadi utama dalam pembentukan identiti muzik penyanyi berusia 14 tahun itu. Jika single pertama memperkenalkan suara Putera kepada dunia, “Kisah Hidupku” pula membuka sisi lebih mendalam tentang kisah hidup, emosi dan realiti yang membentuk perjalanan muziknya.
Namun, lagu ini sebenarnya bermula jauh sebelum Putera aktif sebagai penyanyi. “Kisah Hidupku” pada awalnya hanyalah sebuah melodi ringkas yang dicipta Elyani, bersama rangkap lirik yang menggambarkan kehidupan masyarakat kampung dan kesusahan yang pernah dirasainya. Tanpa perancangan besar, lagu itu akhirnya menjadi karya yang membentuk arah muzik Putera.
Menurut Elyani, lagu tersebut telah lama dihasilkan, malah sudah diperdengarkan kepada orang ramai di media sosial beberapa bulan lalu. Melodi dan lirik yang menyentuh ramai pendengar membuatkan Elyani yakin ia mempunyai kekuatan tersendiri.
Segalanya berubah apabila beliau memperdengarkan lagu itu kepada komposer terkenal, Eddie Hamid.
“Abang Eddie dengar serangkap saja pun dia kata lagu itu ada jiwa. Dia minta saya habiskan lagu tersebut,” kata Elyani.
Dengan dorongan itu, beliau kemudian melengkapkan karya tersebut bersama Eddie. Bagi mengukuhkan lirik, Elyani turut berkolaborasi bersama penulis Zaza dan Rumie. Hasil gabungan itu, “Kisah Hidupku” menjadi sebuah lagu yang padat dengan mesej dan penuh emosi.
Salah satu elemen yang membezakan “Kisah Hidupku” daripada kebanyakan lagu lain ialah penggunaannya dalam dialek Kelantan. Bagi Elyani, pilihan itu bukan dibuat untuk kelainan semata-mata, tetapi kerana ia lebih jujur dengan latar kehidupan yang ingin disampaikan.
“Saya buat kisah itu berkaitan kehidupan yang ramai orang lalui. Dialek itu memang dekat dengan kami, jadi saya rasa ia lebih tulen,” jelasnya.

Eddie Hamid turut menegaskan bahawa dialek bukan halangan untuk lagu menjadi popular, sebaliknya memberi warna unik kepada setiap karya.
Walaupun lagu ini tidak menceritakan kisah peribadi Putera sepenuhnya, ia dijadikan lambang kepada suara ramai kanak-kanak dan remaja yang pernah melalui kesusahan hidup. Lirik mengenai anak kampung, kehidupan serba kekurangan dan realiti anak-anak yang pergi ke sekolah dalam keadaan lapar menjadi refleksi kepada kisah orang ramai.
Proses rakaman pula berjalan lancar kerana Putera telah mengenali lagu itu sejak awal lagi. Video muziknya dirakam di kampung halaman mereka di Jerteh, Terengganu, mengekalkan tema akar budaya yang ingin ditekankan.
“Kisah Hidupku” bukan sekadar single kedua buat Putera Bobo, tetapi sebuah karya keluarga yang menggabungkan suara ibu, bakat komposer, dan penyampaian seorang anak yang semakin menemui identitinya dalam dunia muzik.
Dengan penerbitan oleh Kijang Music dan edaran Nova Music Malaysia, lagu ini kini boleh didengar di semua platform penstriman utama, manakala muzik videonya telah dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos.



