KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin perlu melunaskan tunggakan cukai pendapatan berjumlah melebihi RM1.7 bilion.
Perkara itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak rayuan mereka untuk menangguhkan pembayaran tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.
“Alasan (rayuan) kedua adalah terdapat rayuan yang belum selesai kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).
” Semata-mata kerana wujud rayuan kepada SCIT tidak menghalang kewajipan untuk membayar termasuk dengan memberikan penangguhan.
“(Selain itu terdapat) dakwaan mengenai mudarat tidak dapat dipulihkan. Sama ada amaun yang dibayar adalah untuk tujuan politik dan oleh itu bukan pendapatan bercukai merupakan isu merit dan penilaian dalam bidang kuasa SCIT.
“Saya tidak nampak sebarang kerugian lain yang boleh mewajarkan penangguhan,”kata hakim itu.
Mahkamah kemudian memerintah Najib dan Nazifuddin membayar kos berjumlah RM14,000.
Pada Julai 2020, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017, lapor Utusan pada Isnin.
Najib dan Nazifuddin kemudian merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 22 dan 6 Julai 2021 oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Mereka bagaimanapun gagal untuk mengetepikan penghakiman terus itu.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib yang juga bekas Perdana Menteri menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwanya masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.



