KUALA LUMPUR -Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di beberapa laman Facebook yang cuba memberikan persepsi negatif berhubung penggunaan gelas berkaki bagi minuman “Cucumber Apple Slider” semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT pada 8 November 2025.
KPKT dalam kenyataan medianya menyatakan, minuman “Cucumber Apple Slider” yang disajikan kepada para tetamu merupakan minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang alkohol.
“Penyediaannya dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering yang lazim digunakan untuk majlis berprotokol.
“KPKT memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan yang boleh menjejaskan imej kementerian serta reputasi para tetamu.
“Sehubungan itu, KPKT telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tohmahan yang ditularkan untuk siasatan lanjut,” kata KPKT.
Bukan cuma itu, orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada kementerian terlebih dahulu dan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa usul periksa.
“KPKT kekal komited untuk memastikan setiap penganjuran majlis mematuhi garis panduan, nilai integriti dan sensitiviti masyarakat,” jelas Unit Komunikasi Korporat kementerian itu.



