KUALA LUMPUR – Enam kategori baharu diperkenalkan dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2023, menjadikan keseluruhan 23 dipertandingkan dalam anugerah berprestij anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan jumlah ganjaran RM450,000.
Kategori itu adalah Kewartawanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik, Bicarawara Video Terbaik dan Bicarawara Radio Terbaik, Dokumentari Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar berkata PETONAS bersetuju memperbaharui kontrak penajaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) selama tiga tahun bermula tahun ini hingga 2025 dengan jumlah RM450,000 setahun berbanding RM300,000 sebelumnya.
“Mulai tahun ini juga, MPI dengan persetujuan wakil-wakil organisasi media bersetuju membuka penyertaan HKM kepada wartawan sambilan yang berdaftar dengan organisasi media tempatan dan memenuhi syarat-syarat penyertaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Wartawan BH rangkul hadiah utama Anugerah Liputan Kredit Komuniti Terbaik
Mustapa berkata penyertaan HKM 2023 akan dibuka mulai 20 November ini, manakala tarikh akhir penyertaan ialah pada 15 Januari tahun depan.
Katanya, ia terbuka kepada karya-karya kewartawanan berbentuk laporan berita, rencana, foto dan kandungan berita lain yang telah diterbitkan dan disiarkan sepanjang tahun ini.
MPI turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang komited meraikan kepelbagaian karya terbaik kewartawanan dengan terus menaja HKM sejak 1994. – Bernama