MCMC tidak boleh dibiarkan terus menjadi sasaran fitnah atas nama “kebebasan bersuara”

Emel pembaca:

Saya membaca kenyataan Puan Latheefa Koya di Malaysiakini.com berhubung tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman terhadap penulis blog Murray Hunter dengan rasa pelik.

Beliau mendakwa agensi kerajaan tidak sepatutnya menyaman individu yang mengkritik mereka kerana kononnya tindakan itu mengekang kebebasan bersuara. Pandangan ini tampak idealistik tetapi mengabaikan hakikat asas bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk berbohong atau memfitnah.

MCMC bukan menyaman rakyat kerana dikritik, tetapi kerana terdapat tuduhan palsu dan fitnah serius yang boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kawal selia komunikasi negara.

Dalam konteks ini, MCMC bukan bertindak untuk mempertahankan ego individu, sebaliknya melindungi reputasi dan integriti institusi yang mengawasi keselamatan maklumat negara.

Mengapa apabila agensi kerajaan difitnah, mereka perlu berdiam diri kononnya kerana dibiayai wang pembayar cukai? Bukankah lebih besar kosnya kepada rakyat jika reputasi agensi tersebut hancur sehingga menjejaskan fungsi penguatkuasaan dan keselamatan siber negara?

Tindakan undang-undang adalah jalan terakhir bukan untuk menutup mulut pengkritik, tetapi untuk memastikan kebenaran ditegakkan melalui proses kehakiman yang sah. Mahkamah sendiri telah memutuskan bahawa Murray Hunter bersalah atas fitnah. Maka, apakah yang ingin dipertikaikan lagi?

Kita wajar menyokong ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, tetapi dalam masa sama menolak budaya memfitnah dengan alasan “kebebasan bersuara”. Kebebasan tanpa tanggungjawab bukan demokrasi itu anarki.

Ahmad
Kuala Lumpur

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat