KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Datuk Puad Zarkashi mengemukakan bukti bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan beliau dalam kes Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin yang perlu membayar tunggakan cukai lebih RM1.7 bilion.
Dr Mahathir malah menempelak kononnya Puad cuma ‘meroyan’ di luar mahkamah dan membiarkan Najib menghadapi saman dan kalah.
“Jika LHDN telah diperalat oleh saya kenapa peguam bela Najib tidak tunjuk bukti di mahkamah di hadapan hakim-hakim tersebut.
“Apakah Puad menganggap hakim-hakim tersebut tidak tahu menilai bukti-bukti dan saksi-saksi yang di pamer di mahkamah?
“Selain itu, jika Puad ada bukti bahawa LHDN telah diperalat oleh saya, kenapa dia tidak beri bukti itu kepada peguam bela Najib dan menawar diri sebagai saksi pembelaan.
“Tetapi ini tidak dilakukan olehnya. Sebaliknya, dia cuma “meroyan” di luar mahkamah dan membiar Najib menghadapi saman dan kalah,” bidas Dr Mahathir pada Selasa.
Baru-baru ini, Puad yang juga ahli MKT Umno berkata, kerajaan patut batal saman LHDN sebanyak RM1.7 bilion terhadap Najib.
Kata Puad, adakah munasabah LHDN kenakan cukai terhadap dana sumbangan RM2.081B dan dipulangkan 5 bulan kemudian (RM2.034B) sebagai pendapatan dan perbelanjaan Najib?
“Jelas, ia konspirasi Tun M mempolitikkan LHDN untuk menzalimi Najib. Awalnya LHDN enggan jelaskan bagaimana cukai RM1.7B itu ditaksir.
“Sebab itu saman LHDN patut batal kerana LHDN diperalatkan oleh Tun M,” dakwa Puad.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau berasa agak hairan bagaimana Puad, seorang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor boleh tuduh beliau peralat LHDN di dalam kes Najib (dan anaknya) disaman kerana tidak bayar cukai berjumlah RM1.7 billion.
“Apakah Puad tidak faham proses perundangan. Dalam apa-apa juga kes melibatkan Kerajaan, ia perlu mendapat persetujuan pihak Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.
“Jika Pejabat Peguam Negara berasa bahawa kes itu tidak mempunyai asas kukuh maka ia tidak akan di bawa ke mahkamah. Maka, apabila ia di bawa ke mahkamah ia bermakna Peguam Negara merasa ada asas yang cukup.
“Keduanya, apabila ia dibawa ke mahkamah, hakim pula akan membuat penilaian berdasar kepada bukti-bukti yang dipamer dan saksi-saksi yang dipanggil.
“Jika tiada saksi-saksi dan bukti-bukti yang sahih dan kukuh maka hakim dan mahkamah akan membuang kes tersebut,” tegas beliau.
Jelasnya, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin menolak rayuan Najib dan anaknya untuk membatalkan kes cukai mereka.
“Panel lima hakim telah sebulat suara menolak rayuan mereka membatal kes saman cukai LHDN berjumlah RM1.7 billion tersebut,” katanya.