CYBERJAYA – Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang berlaku pada 16 Disember 2022 mengorbankan 31 nyawa didapati berpunca daripada faktor hujan lebat yang mengakibatkan berlakunya kegagalan cerun.
Kesimpulan tersebut diperolehi hasil kajian dan dapatan analisis forensik Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan keputusan analisis itu berkata, ia adalah akibat daripada kombinasi jumlah hujan major bagi tempoh lima hari dan hujan Anteseden kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing merekodkan 118.6mm dan 444.8mm
“Hujan lebat ini telah menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga berlaku kerosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.
“Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, laporan forensik JKKTR telah dimajukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Selangor untuk dinyahklasifikasi bagi membolehkan hasil siasatan berkenaan diakses orang awam.
Terdahulu, Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyahklasifikan laporan tersebut pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk tindakan lanjut.
“Laporan penuh JKKTR ini boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, mulai 10 pagi esok,” katanya.
Dalam tragedi tanah runtuh yang menggemparkan negara itu, seramai 61 mangsa berjaya diselamatkan manakala 31 maut.