Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Ya, kami merindui Bossku, kami masih menantikan kepulanganmu, kata Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
“Di tengah-tengah kegagalan hari ini, kami tidak malu untuk menyatakan bahawa kami merindui zaman ketika rakyat dibantu, ekonomi diyakini dan pembangunan dapat dirasai, ”katanya.
Shaiful Hazizy berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU 2026) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dekat sini, baru-baru ini.
“Mereka boleh memadamkan nama Dato’ Sri Mohd Najib Razak daripada pentas kekuasaan, tetapi mereka tidak akan mampu memadamkan jasa beliau daripada ingatan rakyat.
“Najib Razak bukan sekadar sebuah nostalgia, beliau ialah peringatan bahawa negara ini pernah dipimpin oleh seorang pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat, ”katanya lagi.
Pada 11 September, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memaklumkannya menerusi satu kenyataan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – SUARA.TV


