KUALA LUMPUR – Tindakan memohon pengampunan untuk Datuk Seri Najib Razak tidak bermaksud Umno menolak keputusan mahkamah. Pengerusi Umno Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, menghormati keputusan mahkamah dan menggunakan proses pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan merupakan dua perkara yang boleh berjalan serentak dalam kerangka undang-undang negara.
“Pada masa yang sama, kami memandang serius tindakan sesetengah pihak yang secara terbuka mendesak supaya permohonan pengampunan tersebut tidak diperkenankan.
“Kenyataan yang seolah-olah menetapkan keputusan yang mesti dibuat sebelum proses berkenaan selesai boleh dilihat sebagai suatu bentuk tekanan awam terhadap pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan semalam.
Justeru kata Wan Rosdy, Umno Negeri Pahang menyeru semua pihak supaya menghormati peranan mahkamah dalam menentukan sabitan dan hukuman.
“Juga memahami bahawa pengampunan ialah suatu proses Perlembagaan yang berasingan.
“Tidak mendahului atau cuba mendesak keputusan dalam proses pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Menjaga kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu,” tegasnya.
Tegas Menteri Besar Pahang itu lagi, Umno akan sentiasa menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan dan kestabilan negara.
Menurut Wan Rosdy, Umno Negeri Pahang menegaskan bahawa perbahasan berhubung permohonan pengampunan Najib hendaklah dilakukan dengan penuh tertib, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
“Pertama, rakyat perlu memahami bahawa mahkamah, penjara dan pengampunan merupakan tiga perkara yang berbeza dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan negara.
“Mahkamah menjalankan proses perbicaraan, menentukan sabitan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang.
“Institusi penjara pula melaksanakan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Sementara itu, pengampunan merupakan suatu proses Perlembagaan yang berasingan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Naib Presiden Umno itu.
Kata Wan Rosdy, permohonan pengampunan bukanlah suatu perbicaraan semula, bukan rayuan tambahan di mahkamah dan bukan tindakan untuk mengambil alih fungsi badan kehakiman.
“Sebaliknya, pengampunan merupakan suatu kuasa mutlak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada proses dan tatacara Perlembagaan yang berkenaan,” katanya.



