KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar membantu lebih ramai isi rumah beralih kepada tenaga solar supaya mereka berpeluang mengurangkan bil elektrik secara berterusan.
Ketua Pemuda Umno Datuk Akmal Saleh menegaskan, pelaburan untuk membantu rakyat menggunakan tenaga solar berpotensi mengurangkan kebergantungan isi rumah kepada bekalan elektrik daripada grid dalam jangka panjang.
“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan meneliti langkah mitigasi bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan bil elektrik.
“Namun, rakyat memerlukan penyelesaian yang berkesan untuk jangka panjang. Kerajaan wajar membantu lebih banyak isi rumah beralih kepada tenaga solar supaya mereka berpeluang mengurangkan bil elektrik secara berterusan.
“Sehubungan itu, kami mencadangkan dua langkah iaitu berikan insentif kepada syarikat dalam industri solar bagi menggalakkan lebih banyak penyedia menawarkan perkhidmatan pemasangan. Persaingan yang sihat dapat membantu menurunkan harga dan menjadikan pemasangan solar lebih mampu milik.
“Berikan rebat kerajaan kepada isi rumah yang memasang sistem solar. Rebat ini dapat mengurangkan kos pemasangan awal, yang sering menjadi halangan utama kepada rakyat untuk menggunakannya.
“Jika kerajaan terus bergantung pada bantuan untuk menampung kenaikan kos penjanaan elektrik, beban kewangan negara boleh meningkat apabila harga bahan api naik,” katanya.
Menurut Akmal, sudah tiba masanya kerajaan menjadikan tenaga solar pilihan yang mampu dicapai oleh rakyat.
“Ringankan bil mereka hari ini dan berikan mereka jalan untuk menjimatkan kos elektrik pada masa hadapan,” katanya.



