KUALA LUMPUR – Generasi akan datang akan mengingati pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pentadbiran dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) yang cemerlang melepaskan pimpinan politik tertinggi negara dari kes-kes rasuah.
Pemimpin Parti Bersama Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, rekod anugerah DNAA di bawah pentadbiran Anwar dalam kes-kes rasuah besar memang cemerlang.
“Kita baru saja dikejutkan dengan satu berita bahawa empat tuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin bersabit pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berjumlah RM200 juta, telah ditarik balik oleh pendakwa raya.
“Laporan media menyebut Hakim Noor Ruwena Nurdin telah membebaskan Muhyiddin sepenuhnya dari tuduhan-tuduhan itu, berikutan permohonan pendakwa raya agar Tan Sri Muhyiddin dilepaskan tanpa dibebaskan atau “discharged not amounting to an acquittal” (DNAA).
“Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin didakwa dalam tujuh kes: 4 kes yang digugurkan hari ini melibatkan RM200 juta yang masuk ke akaun Bersatu, dan 3 lagi kes Jana Wibawa melibatkan RM25.3 juta dari Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd and KCJ Engineering Sdn Bhd,” ujar bekas Menteri Ekonomi itu.
Kata Rafizi, ada dua reaksi dari keputusan ini – pertama, rekod anugerah DNAA di bawah pentadbiran Anwar dalam kes-kes rasuah besar memang cemerlang.
“Selain Muhyiddin, Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi adalah salah seorang penerima anugerah DNAA sebelum ini.
“Generasi akan datang akan mengingati pentadbiran Dato’ Seri Anwar sebagai pentadbiran DNAA yang cemerlang melepaskan pimpinan politik tertinggi negara dari kes-kes rasuah.
“Kedua adalah mengenai wang di dalam akaun Bersatu yang dibekukan yang dilaporkan berjumlah ratusan juta ringgit,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Menurut Rafizi, pilihan raya semakin dekat, Bersatu sudah hilang banyak leverage politik, yang tinggal adalah wang ratusan juta yang kini boleh dicabar untuk dikembalikan kepada Bersatu.
“Yang saya pasti, budak-budak PKR dan PH yang menjerit “sakau, sakau, sakau” dan mendabik dada konon mereka menentang rasuah – mereka tetap berputih mata dan tidak dapat satu sen pun dari wang ratusan juta itu,” bidasnya.


