Enam dekad bersama Malaysia: FUJIFILM Business Innovation berkembang seiring evolusi ekonomi Digital Negara

Perjalanan sesebuah syarikat selama enam dekad lazimnya bukan sekadar mengukur usia, tetapi mencerminkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah, hanya organisasi yang mampu berevolusi akan terus kekal relevan. Itulah yang menjadi cerminan kepada perjalanan FUJIFILM Business Innovation Malaysia, yang kini meraikan ulang tahun ke-60 operasinya di negara ini.

Sejak mula bertapak di Malaysia pada tahun 1966, syarikat itu telah melalui pelbagai fasa perubahan bersama negara. Ketika ekonomi Malaysia masih bertumpu kepada sektor pertanian dan perusahaan asas, keperluan utama organisasi ketika itu ialah mempercepatkan urusan dokumentasi. Hari ini, ketika ekonomi negara bergerak ke arah digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), cabaran organisasi pula tertumpu kepada bagaimana teknologi dapat membantu mereka bekerja dengan lebih cekap, selamat dan pantas.

Perubahan tersebut turut mengubah peranan FUJIFILM Business Innovation Malaysia. Apa yang bermula sebagai penyedia penyelesaian percetakan dan pengurusan dokumen kini berkembang menjadi rakan transformasi digital kepada organisasi daripada pelbagai sektor, termasuk pembuatan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan, peruncitan dan sektor awam.

Perjalanan syarikat itu bermula apabila Rank Xerox memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1966 sebelum dikenali sebagai Fuji Xerox, dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai FUJIFILM Business Innovation pada tahun 2021. Ketika itu, penggunaan mesin penyalin moden masih dianggap sesuatu yang baharu dalam dunia perniagaan tempatan.

Salah satu detik penting dalam sejarah syarikat ialah apabila pejabat Rank Xerox dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman. Peristiwa itu bukan sekadar simbolik, malah menjadi titik permulaan kepada hubungan jangka panjang syarikat bersama sektor korporat dan kerajaan di Malaysia.

Pada era awal operasinya, syarikat tersebut memperkenalkan pendekatan yang ketika itu dianggap luar biasa melalui konsep “Don’t Buy-Rent”, iaitu menawarkan penyewaan mesin penyalin berbanding pembelian terus. Pendekatan tersebut membuka ruang kepada lebih banyak organisasi untuk mengakses teknologi tanpa perlu menanggung kos pelaburan yang tinggi. Model itu kemudiannya mendapat sambutan daripada pelbagai agensi kerajaan serta syarikat besar seperti Tenaga Nasional Berhad.

Memasuki dekad 1980-an, FUJIFILM Business Innovation Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila memperkenalkan pencetak laser Xerox 4045, antara teknologi yang membantu meningkatkan kecekapan percetakan pejabat di negara ini. Pada ketika itu, keupayaan menghasilkan dokumen dalam jumlah yang besar dengan lebih pantas menjadi satu kelebihan penting kepada organisasi yang sedang berkembang.

Namun, perkembangan teknologi tidak pernah berhenti. Dunia pekerjaan hari ini jauh berbeza berbanding enam dekad lalu. Organisasi kini bukan sahaja menguruskan berjuta-juta dokumen digital, malah perlu memastikan maklumat dilindungi daripada ancaman siber, memanfaatkan data untuk membuat keputusan dan menggunakan automasi bagi mengurangkan tugasan rutin.

Keadaan itu menyebabkan peranan penyedia teknologi turut berubah. Jika dahulu fokus diberikan kepada perkakasan pejabat, kini tumpuan lebih menjurus kepada penyelesaian digital yang mampu menghubungkan keseluruhan operasi sesebuah organisasi.

Seiring perubahan tersebut, FUJIFILM Business Innovation Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian yang merangkumi automasi aliran kerja, pengurusan dokumen digital, perkhidmatan cetakan terurus, penyelesaian awan, penyumberan luar proses perniagaan, perkhidmatan IT serta teknologi cetakan pengeluaran.

Malaysia sendiri kekal sebagai antara pasaran strategik dalam rangkaian Asia Pasifik FUJIFILM Business Innovation. Kedudukan negara yang mempunyai ekonomi progresif serta kadar penerimagunaan teknologi digital yang tinggi menjadikan Malaysia sebagai lokasi penting untuk memperkenalkan penyelesaian baharu kepada pelanggan di rantau Asia Tenggara.

Sehingga Jun 2026, FUJIFILM Business Innovation Malaysia menggajikan kira-kira 450 pekerja yang terdiri daripada tenaga profesional dalam bidang jualan, perkhidmatan teknikal, operasi, sokongan pelanggan dan fungsi korporat. Mereka menyokong pelanggan daripada pelbagai industri yang semakin bergantung kepada teknologi digital bagi memastikan operasi harian berjalan lancar.

Presiden merangkap Pengarah Perwakilan FUJIFILM Business Innovation Corp, Naoki Hama, berkata Malaysia merupakan sebahagian penting daripada perjalanan syarikat di rantau Asia Pasifik sejak enam dekad lalu.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, rakan kongsi, pekerja dan komuniti menjadi asas kepada pertumbuhan syarikat sehingga hari ini.

“Selama 60 tahun, Malaysia telah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami di Asia Pasifik. Kami bersyukur atas kepercayaan dan sokongan pelanggan, rakan kongsi, pekerja serta komuniti yang telah menyumbang kepada kejayaan kami. Berpandukan matlamat Kumpulan kami, ‘Giving Our World More Smiles’, kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan bagi membantu mereka menghadapi cabaran perniagaan yang sentiasa berubah,” katanya.

Menurut beliau lagi, pengalaman selama enam dekad di Malaysia memberikan syarikat pemahaman yang mendalam terhadap keperluan organisasi tempatan yang sentiasa berkembang.

Gabungan pengalaman tempatan dengan rangkaian inovasi global membolehkan FUJIFILM Business Innovation Malaysia menyediakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan di negara ini tanpa mengabaikan perkembangan teknologi di peringkat antarabangsa.

Melihat ke hadapan, syarikat itu menjangkakan penggunaan kecerdasan buatan akan mengubah landskap pekerjaan dengan lebih pantas berbanding revolusi teknologi sebelum ini. Justeru, tumpuan dalam tempoh lima tahun akan datang akan diberikan kepada pembangunan penyelesaian yang menggabungkan AI, automasi pintar, Large Language Model (LLM), teknologi Optical Character Recognition (OCR), keselamatan siber serta pengurusan dokumen digital.

Teknologi tersebut dijangka membantu organisasi mengurangkan proses manual, mempercepatkan aliran kerja dan meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan data.

Pada masa sama, FUJIFILM Business Innovation Malaysia turut memperluaskan kerjasama dengan rakan ekosistem bagi menyediakan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada pelanggan. Pendekatan ini turut disokong dengan usaha menggalakkan penggunaan teknologi yang lebih cekap sumber, amalan ekonomi pekeliling serta penyelesaian yang mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar.

Selepas enam dekad berada di Malaysia, perjalanan FUJIFILM Business Innovation bukan lagi sekadar mengenai evolusi sebuah jenama teknologi. Ia turut menggambarkan bagaimana perubahan ekonomi negara telah membentuk semula cara organisasi bekerja, berkomunikasi dan membuat keputusan.

Daripada sebuah syarikat yang sinonim dengan mesin penyalin, FUJIFILM Business Innovation Malaysia kini menjadi sebahagian daripada perubahan yang sedang membentuk era digital negara. Ketika ekonomi Malaysia memasuki fasa baharu yang semakin dipengaruhi kecerdasan buatan, data dan automasi, syarikat itu meneruskan perjalanannya dengan satu matlamat yang sama seperti enam dekad lalu membantu organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan yang tidak pernah berhenti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat