KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia menyokong penuh pengumuman yang dibuat baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan penglibatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) untuk terlibat dalam ekosistem industri penternakan ayam.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Ketua Penerangannya Zakaria Abdul Hamid berkata, umum mengetahui bahawa beberapa minggu lepas, negara dikejutkan dengan kekurangan bekalan ayam daging di pasaran sehingga mencetuskan suasana panik dikalangan rakyat Malaysia.

Jelas Zakaria, langkah untuk melibatkan NAFAS dan ANGKASA, terutamanya dalam sektor penghasilan makanan ternakan (tanaman jagung bijirin) ini dijangka akan menyelesaikan pelbagai permasalahan seperti kekurangan bekalan makanan ternakan yang sebelum ini terpaksa diimport dari negara luar.

Sasaran NAFAS untuk menguasai 20% daripada pasaran ayam tempatan dengan pengeluaran 144 juta ekor ayam setahun dan sasaran ANGKASA dengan 30 juta ekor ayam setahun bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dicapai, namun harus disertakan dengan pelan tindakan yang menyeluruh dan komprehensif.

Pelan tindakan ini juga katanya perlu diselaraskan dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 yang telahpun dilancarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia dan juga wajar menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Indeks Sekuriti Makanan Global (Global Food Security Index @ GFSI) bagi memastikan keupayaan perancangan ini dapat menepati sasaran yang telah ditetapkan.

Parti Bangsa Malaysia amat berharap agar NAFAS dan ANGKASA berupaya untuk melaksanakan agenda ini dengan sebaik mungkin.

Selain itu jelasnya, kita juga wajar mengalu-alukan agar banyak lagi pihak, terutamanya di dalam sektor swasta dapat bersama-sama berganding bahu dalam usaha untuk memastikan pemerkasaan dapat dilaksanakan demi mengukuhkan lagi sekuriti makanan negara.