“OOHAA RAYA” Keunikan lagu raya Ibu & Anak pertama di Malaysia

- Advertisement -

Industri muzik tanah air terus menyaksikan evolusi kreatif apabila penyanyi Sharifah Zarina kembali dengan lagu raya terbaharu berjudul OOHAA RAYA. Namun, kali ini, kemunculannya lebih istimewa apabila beliau memilih untuk berduet dengan anak perempuannya, Athalia.

Bukan sekadar lagu biasa, OOHAA RAYA membawa satu kelainan yang belum pernah diketengahkan sebelum ini—sebuah lagu raya yang menyatukan suara ibu dan anak dalam satu naskhah penuh makna. Perkara ini menjadikan lagu ini unik kerana buat pertama kali dalam sejarah industri muzik Malaysia, sebuah lagu raya mengetengahkan konsep hubungan kekeluargaan secara langsung.

Menurut Sharifah Zarina, keputusan untuk berkolaborasi dengan anaknya bukan sekadar kerana faktor kebersamaan, tetapi juga sebagai kesinambungan daripada kejayaan lagu 40 yang pernah tular di TikTok tahun lalu. Inspirasi utama lagu ini datang daripada kehidupan sebenar mereka sebagai ibu dan anak, terutamanya ketika menyambut Hari Raya.

“Bila Eugene Lai mencadangkan idea untuk saya berduet dengan Athalia, saya rasa ini satu idea yang sangat menarik. Mana ada lagi lagu raya yang menggabungkan ibu dan anak sebagai penyanyi. Saya rasa ini peluang terbaik untuk kami berkongsi kisah kehidupan kami dengan cara yang lebih istimewa,” katanya.

Namun, bekerja dengan anak sendiri dalam studio bukanlah sesuatu yang mudah. Sharifah Zarina mengakui bahawa dia kadang-kadang terbawa dengan naluri seorang ibu yang ingin menegur dan mengajar, membuatkan sesi rakaman menjadi lebih mencabar tetapi tetap menyeronokkan.

Athalia, yang turut berperanan dalam penulisan lirik, juga berkongsi pengalaman menarik sepanjang proses rakaman dan penggambaran muzik video (MV).

“Ada masanya kami berbeza pendapat, tetapi akhirnya kami cuba mencari titik persetujuan bersama. Yang penting, lagu ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memperkukuhkan hubungan kami sebagai ibu dan anak,” kata Athalia.

Dari segi muzik, OOHAA RAYA juga mencipta kelainan dengan gabungan elemen reggae dan keroncong, hasil ciptaan Eugene Lai dan Ja’a.

Menurut Eugene, pada asalnya mereka ingin menghasilkan lagu dengan tempo perlahan berkonsepkan keroncong, tetapi Sharifah Zarina dan Athalia mencadangkan untuk mempercepatkan tempo dan menyuntik elemen reggae, menjadikan lagu ini lebih segar dan moden.

Hasilnya, OOHAA RAYA bukan sahaja menampilkan nuansa muzik yang unik tetapi juga menyelitkan budaya Sarawak melalui penggunaan frasa “OOHAA”, yang membawa maksud “Hello” dalam bahasa Iban. Sebagai anak jati Sarawak, Sharifah Zarina merasakan penting untuk memperkenalkan elemen budaya negeri kelahirannya dalam karya seni ini.

Selain muzik dan konsepnya yang unik, OOHAA RAYA juga menggambarkan realiti kehidupan seharian ibu dan anak, yang sering dikongsi di media sosial mereka. Dengan populariti tinggi di TikTok, Sharifah Zarina dan Athalia berharap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar, terutama yang mengikuti perjalanan mereka selama ini.

Dengan pelancaran rasmi di platform penstriman muzik dan YouTube pada 14 Mac, OOHAA RAYA dijangka menjadi antara lagu raya yang mencuri perhatian tahun ini. Lebih daripada sekadar hiburan, lagu ini membawa mesej kekeluargaan, kasih sayang, dan kegembiraan menyambut Syawal bersama insan tersayang.

#oohaaraya #sharifahzarina #athalia #laguraya #ibuanak

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat