CYBERJAYA – Pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Hans Isaac, mengumumkan bahawa beliau tidak lagi memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas dua tahun menerajui organisasi itu.
Keputusan itu diumumkan menerusi Instagram peribadinya, di mana Hans turut mengucapkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, ats peluang yang diberikan kepadanya untuk memimpin PSM.
“Setelah dua tahun (20 Mac 2025) memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), saya ingin berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan juga Timbalan Menteri KBS, saudara YB Adam Adli untuk peluang yang diberikan pada saya.”
Hans juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta tenaga kerja organisasi tersebut atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang tempoh kepimpinannya.
View this post on Instagram
“Tak lupa juga pada Ahli Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), pencapaian ini merupakan hasil kerjasama semua pihak.”
Masa untuk Cabaran Baharu
Menurut Hans, beliau merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk dirinya meneroka cabaran baharu, yang akan diumumkan pada masa yang tepat.
“Sudah tiba masa untuk saya menerima cabaran baharu di mana harapnya ia akan diumumkan pada masa yang sesuai.”
Dalam tempoh dua tahun menerajui PSM, Hans Isaac telah mencatatkan pelbagai pencapaian, termasuk pendapatan tertinggi RM10.64 juta pada tahun 2024 – satu kejayaan besar bagi entiti tersebut.
“Dengan 20 hasil dan cerita kejayaan dalam tempoh dua tahun di bawah pimpinan saya, saya gembira untuk mengatakan barisan ahli lembaga sudah memberikan yang terbaik untuk PSM dan semua pencapaian yang dilakar.”
Hans turut mnzahirkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Illyas Jamil, serta seluruh pasukan kerja yang telah bersama-sama menjayakan pelbagai inisiatif dalam tempoh dua tahun ini.