Malaysia Layak Ke Separuh Akhir BATC 2022, Tewaskan Kazakhstan 5-0

- Advertisement -

SHAH ALAM – Skuad badminton lelaki negara tidak berdepan masalah untuk mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Kejayaan itu hadir selepas Malaysia menewaskan Kazakhstan 5-0 pada aksi kedua Kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Ia secara tidak langsung membolehkan Malaysia layak ke separuh akhir biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Jepun esok selepas terdahulu menang 5-0 ke atas Singapura semalam.

Pada saingan hari ini, Malaysia merehatkan kesemua pemain utama seperti juara All England, Lee Zii Jia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pertaruhan menurunkan pemain-pemain muda tetap membuahkan hasil apabila Aidil Sholeh Ali Sadikin yang turun selaku perseorangan pertama mudah menewaskan Artur Niyazov 21-11, 21-12.

“Saya ambil masa nak sesuaikan diri, lebih-lebih lagi beraksi di depan para penyokong. Tadi pun saya ambil masa selepas 11 mata baru dapat semula momentum.

“Awalnya ada gementar tetapi selepas itu saya mula berasa selesa dan semakin serasi dengan gelanggang,” katanya selepas tamat perlawanan hari ini.

Dua perseorangan seterusnya, Lim Chong King serta Kok Jing Hong juga menepati ramalan apabila menyumbang dua lagi mata buat Malaysia selepas menewaskan Khaitmurat Kulmatov 21-11, 21-11 dan Makhsut Tajibullayev (21-8, 21-4).

Walaupun Malaysia sudah sah meraih kemenangan tetapi dua beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tetap menceriakan para peminat apabila masing-masing turut meraih kemenangan.

Wei Chong-Kai Wun menang 21-5, 21-5 ke atas Jangir Ibrayev-Ilya Lysenko, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin pula tiada masalah menundukkan Andrey Shalagin-Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4.

Kejayaan ke separuh akhir itu menyaksikan Malaysia secara tidak langsung layak secara merit ke Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand pada Mei depan. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat