MED4IRN Membangunkan Penggunaan Teknologi Robotik – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) hari ini membuat keputusan membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan itu mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing, seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.

“Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada 2030.

“Mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta (public-private partnership),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MED4IRN bagi 2022 secara dalam talian hari ini.

Menurutnya Projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara.

“Antara contoh projek pemangkin adalah pertama, perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.

“Kedua, projek Bandar Pintar, menyasarkan pelbagai kes kegunaan (use cases) berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.

Selain itu Ismail sabri berkata, melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 hingga Disember 2021.

“Di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 peratus setakat 31 Disember 2021.

“Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

“DNB menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022,” katanya.

Tambah beliau, melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia.

Jelasnya inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat.

“Tanggal 19 Februari 2022 adalah ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Beberapa program telah dan akan dilaksanakan di sepanjang bulan Februari dan Mac, seperti Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, sesi perbincangan meja bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat