Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Ikan susu, atau nama saintifiknya Chanos chanos, merupakan spesies akuakultur yang semakin mendapat perhatian sebagai alternatif sumber ikan berkhasiat di Malaysia.
Di Filipina dikenali sebagai ‘Bangus’ dan ‘Bandeng’ atau ‘Bolu’ di Indonesia, digemari kerana rasa isinya yang lemak dan lembut, malah mempunyai kandungan nutriennya yang tinggi, mempunyai sumber protein berkualiti tinggi serta kaya dengan Vitamin A, B12, B6, B-Complex, serta Omega-3.
Nutrien-nutrien ini menjadikannya pilihan makanan yang baik untuk kesihatan, membantu mengekalkan kekuatan tulang, mengurangkan keradangan, serta menyokong fungsi hati dan buah pinggang.
Kandungan astaxanthin, yang merupakan antioksidan semula jadi, dan protein yang tinggi dalam ikan susu juga memberi manfaat dalam menyokong penurunan berat badan.
Sebagai bahan masakan, ikan susu amat versatil dan boleh diolah menjadi pelbagai hidangan seperti laksa ikan susu, asam pedas, ikan salai, breaded, goreng berlada, bakar, kukus, dan pais.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata, ikan susu berpotensi menjadi pilihan utama dalam menu rakyat Malaysia dan statistik terkini menunjukkan pengeluarannya pada 2024 mencapai 4,203.59 tan metrik, dengan nilai borong sebanyak RM37.08 juta.
Adnan berkata, prestasi ini menunjukkan kesinambungan peranan ikan susu sebagai salah satu spesies yang menyumbang kepada industri perikanan negara.
Menurutnya, negeri Kedah terus menjadi penyumbang utama dengan pengeluaran tertinggi sebanyak 3,700.80 tan metrik, diikuti oleh Johor 454.97 tan metrik dan Sabah 46.51 tan metrik.
Peningkatan dalam nilai pasaran juga mencerminkan potensi ikan susu untuk terus memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya lagi, sifatnya terkenal sebagai spesies yang mudah diternak, dengan kos operasi yang rendah kerana hanya memerlukan makanan berprotein rendah serta daya tahan penyakit yang tinggi dan menjadikannya pilihan ekonomi yang berdaya maju untuk penternak tempatan.
“Di Semenanjung Malaysia, Syarikat Usaha Fadzilat (M) Sdn. Bhd. menjadi antara perintis dalam usaha penternakan ikan susu secara komersial.
“DOF terus menyokong industri ini dengan mempromosikan teknologi penternakan ikan susu yang cekap seperti sistem kolam dan sangkar.
“Dengan kolaborasi strategik antara pihak kerajaan dan swasta, pengeluaran ikan susu dijangka terus meningkat, menyumbang kepada kestabilan industri akuakultur dan memperkukuh keterjaminan makanan negara,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
“Selain menjadi sumber protein untuk manusia, ikan susu juga diiktiraf sebagai alternatif bahan makanan ternakan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.
“Ini menjadikannya pilihan yang strategik dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
“DOF menyeru rakyat Malaysia untuk memilih ikan susu sebagai sebahagian daripada sajian harian mereka,”katanya lagi.
Tambahnya, langkah ini bukan sahaja menyokong industri akuakultur tempatan malah mengurangkan kebergantungan kepada perikanan tangkapan, yang semakin terjejas akibat perubahan iklim dan penurunan sumber marin.
“Dengan manfaat kesihatan yang tinggi, kepelbagaian dalam penyediaan makanan, dan potensi ekonomi yang besar, ikan susu berupaya memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan protein negara.
“Sokongan rakyat terhadap ikan susu diharap dapat memperkukuh sektor akuakultur tempatan, meningkatkan kemandirian makanan, serta menyumbang kepada pembangunan industri perikanan yang mampan dan berdaya saing,”tambahnya lagi. – SUARA.TV