Penggunaan istilah “maha kaya” terhadap Tun Daim Zainuddin bertujuan untuk menimbulkan persepsi tidak baik terhadap kekayaan bekas menteri kewangan itu, kata bekas bos kepada stesen televisyen TV3, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.
Abdul Rahman yang pernah memimpin Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, Daim merupakan seorang usahawan yang berjaya dalam perniagaan sebelum dilantik untuk menjadi menteri kewangan pada 1984.
“Bagi saya maha kaya itu satu konotasi untuk supaya kekayaan dia itu menjadi tanda soal. Dilemparkan supaya perkataan ‘maha’ itu dijadikan maksudnya luar biasa.
“No tidak. Itu saya rasa adalah satu perkataan yang menzalimi beliau,” katanya dalam rancangan The Tiger Show Podcast bertajuk “Ada apa dengan Daim?” bersama hos, Amin Iskandar yang disiarkan malam tadi melalui saluran Youtube dan Spotify.
Abdul Rahman turut menafikan tuduhan yang mengatakan Daim mengayakan dirinya semasa menganggotai Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Itu sama sekali tidak betullah.
“Sebelum (masuk) kerajaan saya juga sudah tahu seorang Hamba Allah, orang Melayu yang mempunyai perniagaan yang besar,” katanya merujuk kepada Daim.
Abdul Rahman pada penghujung 1990-an sehingga awal 2000 pernah memimpin beberapa syarikat besar seperti Malaysian Resources Corporations Berhad (MRCB), Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau TV3 dan New Straits Times Press Berhad.
Selain memimpin DPMM dari 2001-2007, Abdul Rahman juga merupakan pengerusi kepada Dewan Perniagaan Kebangsaan Malaysia, ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dan Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).
Ini memberikan peluang kepada beliau untuk bekerja secara langsung dengan Daim dan kerajaan pimpinan Dr Mahathir terutamanya ketika krisis ekonomi yang melanda rantau Asia pada 1997.
Daim meninggal dunia pada 13 November 2024 pada usia 86 tahun.
Beberapa bulan sebelum meninggal dunia pada 29 Januari 2024, kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Daim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan lebih 70 harta.
Bagaimanapun pada 20 November 2024, Daim dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut beberapa hari selepas beliau meninggal dunia.
Istilah “maha kaya” dipopularkan oleh Anwar dan seringkali digunakan untuk menyerang musuh-musuh politik dalam kebanyakan ucapannya selepas menjadi perdana menteri.