KUALA LUMPUR – Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Titah Addendum yang melibatkan Datuk Seri Najib dilaksanakan sekali gus menghentikan prosiding mahkamah yang masih berjalan.
Menurut Menteri Besar Pahang itu, pengesahan Peguam Negara (AG) akan kewujudan Titah Addendum itu sekali gus membenarkan afidavit yang dikemukakan beliau sebelum ini bukan bersifat ‘hear say’ seperti didakwa sebelum ini.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, Jabatan Peguam Negara (AGC) akhirnya mengakui kewujudan Titah Addendum. Ini sekali lagi mengesahkan, afidavit yang saya kemukakan kepada pihak mahkamah, bahawa saya mengetahui kewujudan titah ini adalah benar dan bukan bersifat ‘hear say’.
“Memandangkan pihak Peguam Negara secara langsung atau tidak langsung mengakui keabsahan Titah Addendum ini, adalah wajar bagi prosiding ini dihentikan dan titah ini dilaksanakan,” gesa Pengerusi Umno Pahang itu.
Menurut Wan Rosdy lagi, Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan semua pihak yang terlibat terutama pihak kerajaan perlu menjadi badan yang menjunjung konsep pengasingan kuasa, termasuk menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Saya secara peribadi dan juga mewakili rakyat Negeri Pahang berdoa agar Najib mendapat keadilan seperti yang terkandung dalam Titah Addendum tersebut. Kepada Allah kami berserah,” ujar beliau.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati pandangan semua pihak berkaitan Titah Addendum bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Anwar berkata, isu terbabit masih dalam urusan mahkamah.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Addendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.



