KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan sama ada MIC terus kekal atau keluar daripada Barisan Nasional (BN) hanya akan dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.
Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, perkara tersebut memerlukan perbincangan secara menyeluruh dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Ini kerana menurutnya ia melibatkan masa depan parti serta kepentingan ahli di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, MIC mengamalkan prinsip demokrasi dalaman dan sebarang keputusan penting akan ditentukan secara kolektif melibatkan kepemimpinan tertinggi parti tersebut
“Selepas keputusan dibuat CWC, barulah kami akan maklumkan kepada BN,” katanya lapor Utusan.
Sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana parti yang meninggalkan BN tidak akan diterima masuk semula.
Vigneswaran menyifatkan kenyataan Zahid itu sebagai nasihat yang perlu dilihat serta dipertimbangkan barisan kepimpinan parti demi kepentingan MIC dan BN secara keseluruhan.
Beliau pada masa sama bersetuju dengan kenyataan Zahid bahawa mana-mana parti yang sudah keluar tidak wajar untuk kembali.
“Saya ambil maklum apa yang diperkatakan oleh Zahid. Mungkin ada segelintir yang mahu menganggap ia sebagai nasihat atau mungkin juga anggap ia sebagai satu amaran.
“Terpulang, apa pun, MIC ambil maklum dengan pandangan beliau (Zahid),” jelasnya.



