Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Sepanjang tempoh 2020 hingga Oktober 2025, sejumlah RM6.04 juta berjaya dikutip oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui kompaun dan hasil lelongan sitaan. Daripada jumlah tersebut, RM4.88 juta adalah kompaun manakala RM1.16 juta merupakan hasil lelongan.
DOF dalam kenyataan berkata akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan di seluruh negara melalui operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“DOF telah merekodkan kompaun tertinggi sebanyak RM2.02 juta, diikuti PDRM (RM1.94 juta) dan APMM (RM915,500), mencerminkan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam memperkukuh pematuhan undang-undang perikanan.
“Dari segi tindakan langsung di bawah Akta Perikanan 1985, sebanyak 670 kes tangkapan telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.
“Perak mencatat jumlah tertinggi iaitu 167 kes, diikuti Kedah dan Perlis masing-masing dengan 98 kes. Negeri lain yang turut mencatat angka ketara termasuk Pahang (73 kes), Terengganu (66 kes) dan Johor (39 kes), menggambarkan intensiti pemantauan lapangan serta ketegasan DOF dalam membanterasbpencerobohan zon, penggunaan alat tangkapan tidak sah dan kesalahan perikanan yang lain, ”katanya.
“Sehingga Oktober 2025, sebanyak 3,004 pemeriksaan vesel di laut telah dijalankan, manakala 14,801 pemeriksaan di darat
telah dilakukan di jeti dan pusat pendaratan ikan bagi memastikan semua aktiviti pendaratan hasil perikanan mematuhi undang-undang.
“Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, DOF turut mempertingkatkan kesiapsiagaan penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.
“Jabatan turut menasihati pengusaha bot perikanan tangkapan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, mengelakkan operasi dalam keadaan cuaca buruk, serta memastikan aspek keselamatan, Personal Locator Beacon dan Emergency Position-Indicating Radio Beacon berada pada tahap optimum, ”kata kenyataan itu lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Haji Adnan Hussain berkata, DOF akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, bersepadu dan konsisten bagi memastikan sumber perikanan negara kekal terpelihara serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang, kerana perlindungan sumber ini adalah tanggungjawab bersama demi kelestarian
generasi akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa keupayaan penguatkuasaan DOF semakin meningkat dengan penambahan aset baharu dengan penerimaan 10 buah bot penguatkuasaan baharu pada 2024, manakala 12 buah lagi diterima pada tahun ini.
“Penambahan aset ini meningkatkan kecekapan rondaan laut, memperkukuh pemantauan, dan sekali gus mempertingkat keberkesanan pelaksanaan Akta Perikanan 1985.
“Aset baharu ini membolehkan tindakan lebih pantas, responsif dan menyeluruh, terutama di kawasan hotspot yang sering berlaku pencerobohan”, ujarnya.
Tambahnya, DOF kekal komited memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan kehadiran penguat kuasa di lapangan serta memastikan tindakan berasaskan pencegahan, pemantauan berterusan dan tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.-SUARA.TV



