KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah baharu apabila berjaya menarik 1,009,114 pelancong dari India antara Januari hingga November 2024.
Menurut Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Pencapaian ini melebihi sasaran awal 1 juta pelancong India untuk tahun ini, dengan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 47% berbanding tempoh sama pada 2019, sebelum pandemik, dan peningkatan luar biasa 71.7% berbanding 2023.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, kejayaan ini disumbangkan oleh pelbagai inisiatif strategik, termasuk pengenalan dasar visa percuma pada Disember 2023.
“Dasar ini membuka peluang baharu untuk sektor pelancongan, di samping pelancaran laluan penerbangan baharu dari India sepanjang 2024. Indigo Airlines kini menawarkan penerbangan terus harian ke Pulau Pinang dan Langkawi bermula Disember ini, selain laluan sedia ada ke Kuala Lumpur. Pertambahan jaringan penerbangan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Pelbagai kempen promosi oleh Tourism Malaysia bersama pengendali pelancongan dan agensi pelancongan dalam talian (OTA) turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan populariti Malaysia di pasaran India. Kempen pemasaran inovatif yang mengetengahkan budaya, tarikan bertaraf dunia, serta pengiklanan digital yang meluas telah berjaya menarik perhatian pelancong India.
Pengiktirafan Malaysia sebagai Destinasi MICE Terbaik 2024 juga meningkatkan reputasi negara ini sebagai pilihan utama bagi korporat India menganjurkan mesyuarat, insentif, persidangan, dan pameran (MICE). Gabungan pelancongan perniagaan dan santai ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah menjana pendapatan besar untuk ekonomi tempatan.
Dengan pencapaian 246 penerbangan langsung mingguan antara India dan Malaysia kini, usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan akan terus diperkukuh menjelang 2025. Malaysia juga komited membangunkan produk pelancongan yang disesuaikan untuk pelancong India, sambil merapatkan kerjasama dengan rakan industri untuk memberikan pengalaman pelancongan yang tidak dapat dilupakan.
Sebagai persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, negara ini terus komited menjadi destinasi pilihan utama pelancong India, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.-SUARATV