PUTATAN, – Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Tanjong Keramat diseru memilih calon Barisan Nasional (BN), Jeffery Nor Mohamed sebagai wakil rakyat baharu demi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang stabil dan berkesan di kawasan itu.
Seruan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir, yang turut turun membantu kempen calon BN berkenaan.
Menurut beliau, Jeffery bukan sekadar hadir sebagai calon, tetapi sebagai seorang pemimpin yang telah lama menunjukkan komitmen tinggi terhadap rakyat.
“Jika rakyat mahukan perkhidmatan yang konsisten, pilihlah calon BN No.3 N24 Tanjong Keramat, Jeffery Nor Mohamed,” tegasnya.
“Jeffery adalah pemimpin yang dekat dengan masyarakat. Setiap pertemuan, kunjungan dan maklum balas rakyat menjadi asas kerja beliau. Saya yakin, jika diberi mandat, beliau akan terus berkhidmat dengan konsistensi dan kefahaman mendalam terhadap denyut nadi penduduk.”
Mengulas slogan kempen “Demi Rakyat, Demi Sabah”, Dato’ Zaidy menjelaskan bahawa ia bukan sekadar retorik, sebaliknya melambangkan nilai yang dibawa oleh Jeffery keikhlasan, kesungguhan dan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat Tanjong Keramat.
Beliau turut memaklumkan bahawa jentera dari Jeram Padang dan Jempol, termasuk pasukan media sosial, bergerak aktif membantu memperkukuh kempen Jeffery dalam usaha menyemarakkan gelombang “Bikin Balik Sabah” di kawasan tersebut.
“Masa depan Tanjong Keramat bergantung pada pilihan rakyat. Saya percaya Jeffery Nor Mohamed adalah calon terbaik yang mampu membawa perubahan bermakna kepada penduduk di sini,” tambahnya.
Kempen di N.24 Tanjong Keramat dijangka semakin rancak menjelang hari pengundian, dengan persaingan antara calon-calon yang ingin merebut keyakinan pengundi.



