Oleh Zihan Zari
BUKIT KATIL – Melaka menjadi negeri pertama yang mengamalkan tanaman nanas berkonsep ‘1 kali tanam, 3 kali tuai’ di Pusat Koreksional Jasin, sebagai contoh terbaik kepada negeri lain dalam meningkatkan hasil dan nilai tambah pertanian, kata EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh.
Beliau berkata Kerajaan Negeri komited memperkukuh sokongan terhadap pembangunan industri nanas melalui pelbagai insentif dan kerjasama strategik bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Agrobank serta agensi persekutuan lain.

Katanya, nanas bukan sekadar tanaman komoditi, tetapi aset strategik yang mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan, pembangunan ekonomi luar bandar serta peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 di Bayou Lagoon Park Resort, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh; dan Pengarah LPNM Melaka, Siti Hajar Ramlee.
Dr. Muhammad Akmal menyeru agar pengusaha dan peserta program menjadikan teknologi serta inovasi sebagai pemacu baharu pertanian moden.
Menurut beliau penggunaan dron pertanian, sistem pengurusan tanaman secara saintifik, serta produk inovasi berasaskan nanas adalah langkah penting dalam memodenkan sektor ini dan menarik minat golongan belia untuk turut serta.
Terdahulu, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri berkata Melaka kini mencatatkan peningkatan keluasan tanaman nanas sebanyak 142.99 peratus (%) dalam tempoh lima tahun terakhir, dengan keluasan semasa 314.25 ekar melibatkan 175 usahawan berdaftar.
Menurut beliau peningkatan ini membuktikan bahawa industri nanas kini menjadi salah satu sektor ekonomi baharu yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Menurutnya lagi program ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi platform perkongsian ilmu dan teknologi moden yang dapat membantu pengusaha meningkatkan produktiviti serta menjadikan nanas sebagai komoditi berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026–2030, sebanyak RM 288 juta telah diluluskan peruntukan kepada LPNM, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding RMK-12.
“Dana ini akan digunakan bagi melaksanakan tujuh program pembangunan menyeluruh yang menyokong semua rantaian nilai industri nanas, daripada pengeluaran hingga pemprosesan produk hiliran, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, lebih 100 peserta yang terdiri daripada pengusaha dan usahawan nanas seluruh Melaka telah menghadiri program ini bertujuan memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan aplikasi teknologi moden dalam kalangan pengusaha serta bakal usahawan nanas.
Program dua hari ini yang dianjurkan oleh LPNM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah menampilkan lapan modul latihan pengurusan tanaman nanas, termasuk sesi teori dan amali yang merangkumi morfologi pokok, pengurusan baja, kawalan rumpai dan penyakit, serta simulasi penggunaan dron pertanian.
Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM Jasin), Ts. Dr. Zaiton Sapak dan usahawan industri nanas, Khairil Anwar Mohammad, turut diundang menyampaikan ceramah tanaman nanas.
Selain itu, pameran diorama industri nanas, pameran produk inovasi berasaskan nanas, taklimat pembiayaan oleh Agrobank, dan taklimat keselamatan sosial oleh PERKESO.
Program diakhiri dengan lawatan di Pusat Pengumpulan Ladang Nanas, Pusat Koreksional Jasin (PPL PK Jasin) bagi menilai keberkesanan penggunaan dron pertanian dalam kerja-kerja pembajaan tanaman nanas, menjimatkan masa, dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.-SUARA.TV



