Jho Low dan Jasmine Loo pernah adakan pertemuan di China – Saksi pendakwaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pernah mengadakan pertemuan dengan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan di China, lima tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-48, Asisten Komisioner Foo Wei Min berkata, pertemuan itu dimaklumkan oleh Jasmine kepadanya ketika menyoal siasat wanita itu pada Ogos dan September lalu.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terlibat dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki, ditahan polis pada 7 Julai lalu selepas pulang ke tanah air.

Wei Min yang juga Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) berkata, antara bekas pegawai 1MDB yang turut serta dalam pertemuan itu ialah bekas pegawai 1MDB, antaranya Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir.

Beliau yang juga pegawai penyiasat 1MDB menyatakan demikian pada perbicaraan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau mengetahui Jasmine dan Jho Low sangat rapat, Wei Min berkata, Jasmine boleh dianggap sebagai pembantu peribadi kerana wanita itu sering dibawa bersama ketika menghadiri mesyuarat.

Disoal lanjut, saksi itu bersetuju bahawa Jasmine adalah saksi penting dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB dihadapi Najib yang boleh mendedahkan isu berkaitan Tanore Financial Corp.

Wei Min turut bersetuju bahawa keterangan Jasmine boleh menyelamatkan Najib atau menyebabkan bekas Perdana Menteri disabitkan dengan tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut kes pendakwaan, Fasa Tanore merujuk kepada fasa pertama iaitu RM2.081 bilion dikreditkan ke akaun Najib menerusi AmPrivate Banking – MR daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp, antara 21 Mac dan 10 April 2013, di mana ia dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Global Investment Limited.

Bagaimanapun menurut saksi itu, Jasmine memberitahunya ketika disoal siasat (antara Ogos dan September) bahawa beliau (Jasmine) tidak mempunyai kawalan ke atas Tanore.

Wei Min berkata, hasil soal siasat mendapati, Jho Low selalu menghubungi Jasmine ketika berada dalam buruan selama lima tahun tetapi mereka tidak membincangkan mengenai Tanore.

Saksi itu berkata, pihaknya tidak menyoal siasat Jasmine sama ada beliau dikelirukan oleh Jho Low bahawa Tanore ialah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi dan persoalan bagaimana beliau (Jasmine) berurusan dengan syarikat berkenaan.

Katanya, perkara itu mungkin dibangkitkan oleh satu lagi pasukan penyiasat kerana beliau hanya menumpukan kepada aspek pemulihan aset yang dibeli dengan menggunakan dana 1MDB.

Menjawab soalan Muhammad Shafee sama ada Jasmine tidak dilihat sebagai individu yang bersalah, Wei Min berkata wanita itu adalah seorang proksi.

Wei Min memberikan keterangan terhadap Najib yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung 5 Disember ini. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat