Terpalit Rasuah Malaysia Dapat Skor D Dalam Sektor Pertahanan

KUALA LUMPUR – Malaysia sekadar mendapat skor D untuk Government Defence Integrity Index (GDI) bagi tahun 2020.

Skor rendah yang dicatat Malaysia dalam indeks antarabangsa itu kerana terkait rasuah dalam sektor pertahanan.

Menurut kenyataan Transparency International Malaysia (TI-M), negara mendapat 45 peratus atau penarafan D untuk GDI bagi tahun lepas.

Penarafan D menunjukkan daya tahan institusi yang lemah terhadap rasuah.

TI-M berkata, GDI menilai institusi pertahanan negara serta menilai sejauh mana kawalan dalam menguruskan risiko rasuah merentasi pelbagai bidang risiko utama pertahanan.

Ia termasuk penggubalan dasar dan hal ehwal politik, kewangan, pengurusan kakitangan, operasi ketenteraan dan perolehan.

New Zealand menduduki tempat teratas dengan skor 85 peratus dan negara yang lebih teruk ialah Sudan dengan skor 5 peratus.

TI-M berkata sektor pertahanan telah lama dianggap sebagai kawasan yang paling ‘legap’ dalam aktiviti kerajaan, dengan ketelusan belanjawan dihadkan. Katanya, belanjawan pertahanan yang diterbitkan hanya menyediakan satu angka umum dan bukannya pecahan secara menyeluruh perbelanjaan merentasi semua fungsi.

Ia berkata terdapat pengawasan perundangan yang lemah terhadap bajet sektor pertahanan, pembidaan kompetitif yang rendah untuk pemerolehan, kekurangan ketelusan data dan tiada ombudsman (perwakilan) bebas untuk menangani aduan.

Katanya, pemerhatian utama terhadap skor rendah negara adalah termasuk pengawasan undang-undang yang lemah terhadap belanjawan, bidaan berdaya saing rendah untuk perolehan, tiada ombudsman bebas untuk menangani aduan serta kurang ketelusan data.

“Kami menggesa kerajaan untuk melihat secara serius risiko rasuah yang tinggi dalam sektor pertahanan dan mengambil langkah segera untuk mengurangkan risiko ini”, kata presidennya, Muhammad Mohan.

Beliau menggesa kerajaan membuat pendedahan penuh kepada orang ramai mengenai kelewatan penghantaran kapal Littoral Combat Ship dan helikopter McDonnell MD503G susulan projek terbabit sudah lama tertangguh dan ia melibatkan wang pembayar cukai.

“Ketelusan yang tinggi dan akauntabiliti dalam kedua-dua kes ini akan menunjukkan bahawa kerajaan serius terhadap tadbir urus yang baik dalam sektor pertahanan,” tambahnya.