KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi mendakwa antara kelemahan menteri-menteri Pelajaran di Malaysia ialah mereka tidak pernah turun tengok sendiri kedaifan sekolah pedalaman.
Katanya, kedaifan ini khususnya sekolah pedalaman kategori 2 dan 3 di Sabah dan Sarawak.
Tegas Puad, perbezaan sekolah luar bandar dengan pedalaman seperti bumi dengan langit.
“Besar perbezaannya terutamanya air bersih, elektrik, asrama desa, blok sekolah, rumah guru, internet dan kekurangan guru.
“Diharap Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek sanggup tidur di rumah panjang untuk melawat sekolah pedalaman. Ini kerana guna bot ke pedalaman ambil masa lama.
“Tidak pasti Datuk Radzi Jidin sudah sampai ke sekolah pedalaman P3 SK Balar Gua Musang Kelantan. Itu negerinya sendiri,” kata beliau.
Menurut Puad, Kementerian Pendidikan Malaysia dapat bajet RM58.7 bilion.
Jelas beliau, itu komitmen besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isunya fokus kepada sekolah pedalaman dalam semua segi.
“Mesti ada target hapus semua sekokah pedalaman P1, P2 dan P3.
“Saya tidak pasti apa jadi dengan program “Transformasi Sekolah Pedalaman” yang pernah dilancar di Beluran Sabah dulu. Sudah mati?
“Saya pernah jumpa asrama desa di mana murid tidur atas pangkin kayu. Bilik darjah tidak ada dinding pemisah dengan bilik darjah lain. Rumah guru daif dan air tube well yang bau busuk,” ujar Puad yang juga Speaker DUN Johor.
Kata beliau, menteri kena fokus kepada sekolah pedalaman untuk meratakan “level playing field” bidang pendidikan.
“Pastikan tidak wujud lagi sekolah blok kayu di pedalaman.
“Menteri kena mulakan dulu melawat sekolah pedalaman walaupun terpaksa jalan kaki. Ada PPD jadi malas turun ke bawah. Mereka sendiri tidak tahu apa yang berlaku di pedalaman.
“Pernah terjadi KPM pulangkan duit RM800 juta yang tidak dibelanja kepada Perbendaharaan. Bila Guru Besar minta peruntukan dijawab tidak ada duit. Tetapi pulang duit RM800 juta.
“Semoga Fadhlina buat transformasi menyeluruh termasuk membetulkan budaya kerja pegawai pendidikan di PPD, negeri dan Bahagian Pembangunan dalam isu sekolah pedalaman,” katanya.