KUALA LUMPUR – Dua jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sudah terisi apabila ADUN Batu Maung, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid mengangkat sumpah jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) di Dewan Sri Pinang, hari ini.
Wakil rakyat daripada PKR itu juga mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri EXCO di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada jam 10.20 pagi disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Beliau yang juga pakar bidang kewangan dan pengurusan risiko itu secara rasmi turut menyandang portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri.
Mohamad, 49, daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh 18,939 undi dengan majoriti 3,221 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu yang meraih 15,718 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Beliau sebelum ini adalah Rektor, Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, selain pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Islam Malaysia (UIM).
Sementara itu, ADUN Datok Keramat daripada DAP, Jagdeep Singh Deo dilantik TKM 2 Pulau Pinang.
ADUN empat penggal yang juga seorang peguam itu turut menggalas tanggungjawab sebagai EXCO Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi negeri.
Gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dengan DAP berjaya mengekalkan kemenangan di 19 kerusi DUN ditandingi parti itu, manakala PKR menang tujuh daripada 13 kawasan ditandingi dan BN memperoleh dua kerusi serta Amanah mengekalkan satu kerusi iaitu Bayan Lepas.