KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan sama ada sebarang persefahaman antara Umno dan Pas dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah dipersetujui oleh MCA termasuk barisan kepimpinan tertinggi parti.
Yee Fung berkata demikian susulan dakwaan wujudnya persefahaman antara Umno dan Pas dalam kempen PRN di Negeri Sembilan, sambil meminta penjelasan mengenai pendirian parti itu terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan parti berkenaan.
Yee Fung berkata, beliau berasa keliru selepas pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini menegaskan bahawa gabungan itu tidak bekerjasama dengan Pas, namun kenyataan berbeza didakwa dibuat semasa kempen di Negeri Sembilan.
“Di Johor seminggu lalu, saya berkali-kali memberitahu pengundi bahawa kami tidak bekerjasama dengan Pas dan untuk menyekat ‘gelombang hijau’, mereka perlu mengundi Barisan Nasional,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Menurut Yee Fung, pemimpin BN kemudiannya mengumumkan di pentas ceramah calon bahawa terdapat persefahaman dengan “rakan-rakan”, manakala pemimpin Pas pula mengesahkan wujudnya kerjasama antara Umno dan Pas.
Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan mengenai prinsip perjuangan parti, khususnya berkaitan sekularisme dan demokrasi yang menurutnya telah lama diperjuangkan.
“Apa garis merah yang ada? Apa prinsip yang masih dipertahankan?” soal beliau dalam hantaran itu.
Yee Fung berkata, beliau sukar menerima pendekatan politik yang dilihat mengutamakan kemenangan pilihan raya atau kedudukan politik semata-mata.
“Maaf, saya mempunyai idealisme politik tersendiri dan saya tidak dapat bersetuju dengan perkara ini,” katanya.



