KUALA LUMPUR – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat tampil memberi pencerahan berkenaan anggaran RM600,000 kos perobohan flat haram yang didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat.
Kenyataan itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan memaklumkan berkenaan anggaran kos siling bagi maksud perobohan tersebut berjumlah RM600,000.00 yang meliputi kerja-kerja perobohan keseluruhan struktur, kerja-kerja pembersihan kawasan perobohan serta kerja-kerja membaik pulih tebing sungai yang terkesan.
“Pada 13 Jun 2026, pemilik tanah telah memulakan tindakan perobohan struktur-struktur berkaitan, bermula dengan struktur yang berada di atas rizab sungai dan rizab jalan terlebih dahulu.
“Pemilik tanah akan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi merobohkan struktur bangunan kediaman bertingkat dengan mengambil kira aspek teknikal dan keselamatan yang perlu dipatuhi,” katanya.
PDT Hulu Langat mengambil maklum akan keprihatinan rakyat berhubung perobohan struktur binaan tanpa kebenaran yang didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat.
“Isu ini telah dibangkitkan melalui Mesyuarat Penyelarasan Isu Berkaitan Struktur Binaan Tanpa Kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat pada 10 Jun 2026.
“Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Hulu Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Mesyuarat tersebut telah membincangkan berkenaan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil sehingga kini di bawah bidang kuasa agensi masing-masing serta tindakan-tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan bagi maksud perobohan struktur binaan tanpa kebenaran tersebut.
“Untuk makluman, keluasan tapak struktur-struktur yang terlibat dianggarkan seluas 1,845 meter persegi merangkumi binaan struktur kediaman bertingkat serta beberapa unit struktur binaan 1 tingkat di atas tanah persendirian dan juga tanah kerajaan (rizab sungai dan rizab jalan),” jelasnya.
Jumaat lalu Sany memberitahu, kos sebanyak RM600,000 diperlukan bagi merobohkan bangunan seakan ‘flat’ empat tingkat yang dibina secara tidak sah oleh komuniti Rohingya di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, kertas kerja perobohan bangunan itu dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kini sedang menunggu bajet daripada kerajaan negeri.
“Dapat sahaja bajet daripada kerajaan negeri, operasi perobohan akan dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan agensi di peringkat daerah,” katanya.
Sany berkata, kebanyakan daripada kalangan komuniti Rohingya juga meninggalkan kawasan berkenaan, melainkan tiga keluarga setakat ini.
“Saya dimaklumkan sekurang-kurangnya tiga keluarga masih lagi tinggal di situ, tapi yang lain semua sudah keluar,” katanya.
Beliau turut menyifatkan isu membabitkan komuniti Rohingya dilihat sangat rumit dan kompleks.



