Teroka ‘hikayat’ Gunung Reng

- Advertisement -

SETIBANYA penulis di Kampung Batu Melintang, Jeli di Kelantan tersergam indah sebuah gunung berbatu berbentuk tirus ke bawah.

Ia seakan-akan menjadi gunung ikonik di kawasan itu kerana gunung berkenaan paling menonjol berlatarkan panorama hijau dan kampung di sekitarnya.

Gunung itu yang dinamakan sebagai Gunung Reng bukan sesuatu yang asing dalam kalangan penduduk setempat atau mereka yang gemarkan aktiviti lasak seperti menerokai gua dan mendaki.

Penulis bersama rakan media yang hadir ke destinasi itu baru-baru ini kerana mengikuti Program Xpresi Media Cuti-cuti Malaysia Kelantan 2023 dianjurkan Tourism Malaysia kagum dengan keindahan gunung itu. Apatah lagi diberi peluang menerokainya.

Menurut hikayat di bawah tapak gunung ini pernah wujud sebuah perkampungan dinamakan Kampung Tala kira-kira 1,400 tahun lalu.

Perkampungan itu dibuka Tok Tadeh yang berketurunan Jawa. Kononnya pada satu hari ketua Kampung Tala mengadakan kenduri selama tujuh hari tujuh malam. Dalam kenduri itu turut diadakan pelbagai jenis permainan.

Malah, mereka juga mengadakan permainan laga anjing dan kucing atas bumbung rumah. Ketika haiwan itu berlaga tiba-tiba berlaku ribut taufan.

Pada masa sama seorang wanita dan cucunya pulang ke rumah terletak di kampung berhampiran yang dinamakan sebagai Kampung Gantang untuk memunggah padi yang sudah kering.

Usai memunggah padi, wanita itu kembali semula ke Kampung Tala. Namun, kelihatan kampung berkenaan sudah diserkup sebuah batu yang besar sehingga melenyapkan segala isi kampung.

Gunung itu sebelum kejadian terletak di Hulu Sungai Reng iaitu mengambil masa perjalanan tiga hari untuk tiba ke lokasinya yang bersempadan Kelantan dan Perak. Selepas kejadian, lokasi gunung itu menjadi sebuah kolam.

Deligasi media yang hadir untuk menerokai lokasi itu ditemani penunjuk arah tempatan, Abbas Mohd Salleh turut menceritakan dalam gunung itu ada 69 gua.

Katanya, Gunung Reng menjadi destinasi tarikan pelancongan eko di Jeli kerana pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak dan beriadah.

Malah, ada pakej disediakan untuk memudahkan pengunjung menikmati keindahan Gunung Reng antaranya mengelilingi gunung itu yang melalui 29 gua, mendaki sehingga puncak berketinggian lebih 200 meter dan menerokai 69 gua berkenaan.

Sebaik diberi kesempatan menerokai ‘isi perut’ gunung berkenaan, ternyata ia menawarkan panorama yang menarik bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

Di awal perjalanan, ada tangga disediakan bagi memudahkan pengunjung masuk ke dalamnya yang agak tinggi.

Setibanya dalam gua berkenaan ternyata ia begitu luas dan ada banyak gua kecil di sekitarnya. Malah, di bentuk-bentuk batu yang unik juga dapat dilihat dengan jelas.

Setiap batu yang terbentuk unik itu mempunyai hikayat tersendiri antaranya tempat bertapa pembesar terdahulu.

Malah, penulis dan rakan media juga dibawa naik ke satu kawasan yang dikatakan mempunyai kolam di atasnya. Untuk menuju kawasan itu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pendakian yang amat berhati-hati.

Setibanya di kawasan yang dikatakan mempunyai kolam itu adah sebuah lubang kecil yang dimaklumkan oleh Abbas ia sebenarnya mempunyai air yang tidak pernah surut dan mengalir dalam lubang yang lain.

Selain itu, kami juga diberi kesempatan mendaki ke suatu lokasi sehingga luar gua utama untuk melihat panorama sekeliling dari kaca mata burung.

Perjalanan turun dari lokasi kami meninjau panorama luar itu juga bukan mudah kerana perlu melalui celah batu yang agak sempit dan curam. Memakai kasut atau sandal yang bersesuaian amat digalakkan.

Bagi penulis lokasi ini menarik untuk diterokai secara total jika mempunyai masa panjang. Apatah lagi, sekiranya diberi peluang untuk mendaki sehingga puncak.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat