Ahmad Samsuri dilantik Ketua Pembangkang, tiada pengumuman parti baharu sertai PN

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) melantik Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang baharu.

Pelantikan itu diumumkan menerusi kenyataan media PN selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi daripada parti-parti komponen gabungan itu.

“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Kemaman, untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut sebarang keputusan berhubung kemasukan parti baharu ke dalam PN.

Sebelum ini, terdapat khabar bahawa Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) akan diterima sebagai parti komponen baharu PN, sekali gus membuka ruang kepada bekas Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk terus memainkan peranan sebagai salah seorang pemimpin dalam gabungan berkenaan.

Dalam mesyuarat sama, PN turut memuktamadkan pelantikan Pengerusi PN negeri-negeri, namun keputusan bagi Negeri Sembilan ditangguhkan.

Antara pelantikan yang diumumkan ialah Datuk Seri Shahidan Kassim bagi Perlis, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi Selangor.

PN turut menamakan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin sebagai Pengerusi PN Melaka dan Wilayah Persekutuan, manakala Johor dipimpin Datuk Dr. Sahruddin Jamal; Pahang oleh Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man; Terengganu oleh Datuk Dr. Alias Razak; Kelantan oleh Ustaz Datuk Bentara Kanan Datuk Ahmad Yakob; Sabah oleh Datuk Dr. Aliakbar Gulasan dan Sarawak oleh Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan PN.

Menurut kenyataan itu, PN akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat