Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) kali ini memberi isyarat bahawa PAS, walaupun kini memegang teraju utama gabungan melalui Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, tidak mahu dilihat membolot keseluruhan struktur PN.
Pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang mengukuhkan kedudukan PAS sebagai kuasa paling dominan dalam PN. Namun dalam masa sama, keputusan mengekalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin di Melaka dan Wilayah Persekutuan, serta Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai di Pulau Pinang menunjukkan PAS memilih pendekatan lebih terbuka dan pragmatik.
Pengekalan Dominic sebagai Pengerusi PN Pulau Pinang pula membawa mesej tersendiri. Walaupun Gerakan tidak mempunyai kekuatan akar umbi sebesar PAS atau Bersatu, keputusan itu menunjukkan PN masih mahu mengekalkan wajah bukan Melayu dalam struktur kepimpinan negeri, terutama di Pulau Pinang yang memerlukan pendekatan politik lebih pelbagai.
Langkah itu juga penting dari sudut imej nasional PN. Dengan mengekalkan Dominic, PN cuba menunjukkan gabungan tersebut tidak bergerak semata-mata atas kerangka politik Melayu-Islam, sebaliknya masih memberi ruang kepada parti komponen bukan Melayu untuk memainkan peranan rasmi dalam gabungan.
Namun, isyarat yang lebih besar ialah susunan baharu ini seolah-olah menunjukkan kumpulan Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi keutamaan dalam PN.
Khabar sebelum ini bahawa BERJASA akan diterima sebagai parti komponen baharu PN, sekali gus membuka ruang kepada Hamzah untuk terus berperanan dalam gabungan itu, tidak dizahirkan dalam kenyataan rasmi mesyuarat. Sebaliknya, PN hanya menyebut persetujuan secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan parti-parti tertentu.
Pelantikan pemangku Pengerusi Bersatu Melaka, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin sebagai Pengerusi PN Melaka juga membawa makna politik tersendiri. Ia memberi isyarat bahawa kedudukan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang sebelum ini dilihat cenderung kepada kumpulan Hamzah, semakin tidak lagi menjadi keutamaan dalam percaturan PN negeri.
Mas Ermieyati sebelum ini merupakan antara wajah penting Bersatu di Melaka dan pernah menjadi calon Ketua Menteri PN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka. Namun dengan Radzi kini diberi kepercayaan mengetuai PN Melaka, peranan politik beliau dalam struktur negeri itu kelihatan semakin mengecil.
Bagaimanapun, antara kelemahan keputusan PN kali ini ialah pengekalan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi PN Perlis. Walaupun Shahidan mempunyai pengaruh politik yang kuat di negeri itu, beliau dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Istana Perlis.
Faktor ini boleh menjadi cabaran besar kepada PN dalam usaha mengekalkan kuasa di Perlis pada pilihan raya umum akan datang. Dalam politik negeri kecil seperti Perlis, hubungan dengan Istana bukan sekadar soal protokol, tetapi turut mempengaruhi kestabilan pentadbiran dan penerimaan politik selepas pilihan raya.
Secara keseluruhan, keputusan mesyuarat ini memperlihatkan dua mesej besar. Pertama, PAS mahu memimpin PN dengan wajah yang lebih terbuka, bukan sekadar memperkukuh dominasi parti itu semata-mata. Kedua, tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan kumpulan Hamzah kelihatan semakin kurang mendapat tempat dalam struktur utama PN.



