Email Pembaca: UMNO Akan Menang Besar PRU15, Jika PM Dilantik Presiden

Oleh: Penganalisa Politik

Minggu ini kita dihidangkan persoalan besar iaitu adakah Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri boleh menjadi Presiden UMNO? Perkara ini timbul apabila Tan Sri Annuar Musa menyambut pengumuman SUA UMNO berkenaan ketetapan terkini Majlis Tertinggi UMNO menyokong dan mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Sejarah UMNO itu sendiri menyaksikan Perdana Menteri daripada UMNO seperti Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Badawi belum lagi menjadi Presiden UMNO semasa mereka dilantik sebagai Perdana Menteri.

Setiap peristiwa yang berlaku ada sebab-musababnya pada ketika itu. Jika kita baca buku Jeneral Ibrahim Ismail, beliau mencatatkan bahawa keadaan yang tidak terkawal di Kuala Lumpur semasa 13 Mei, 1969 menjadi faktor utama Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada ketika itu politik UMNO tiada masalah besar, maka tiada keperluan dalam UMNO untuk menyerahkan kepimpinan Presiden UMNO kepada Tun Abdul Razak. Tunku dalam ucapan perpisahannya sebagai Presiden UMNO pada 23.1.1971 berkata beliau tidak mahu menjadi penghalang kemajuan UMNO atau Negara. Kata pepatah Inggeris sebut, proof of the pudding is in the eating. Maka Tunku pun berkata, berilah sokongan penuh kepada Tun Abdul Razak memimpin parti dan mentadbir negara.

Tun Abdul Razak hanya menjadi Presiden UMNO pada tahun 24.1.1971 selepas 1 tahun menjadi Perdana Menteri pada 22.8.1970.

Maka semangat Tunku itu perlu dicontohi oleh Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan UMNO di seluruh negara. Apatah lagi Ismail Sabri berjaya membuktikan kemampuannya mentadbir negara, politik negara dan sosioekonomi negara dengan harmoni.

UMNO menang besar di Melaka kerana faktor itu. Parti BERSATU kalah besar walaupun di segenap pelusuk Melaka dipasang poster Abah. Sebaliknya UMNO Melaka hanya menggunakan poster Ismail Sabri dan Keluarga Malaysia,tidak menggunakan gambar Zahid kerana masing-masing faham jika poster Zahid kesan buruk akan berlaku akibat tempias kes-kes di mahkamah.

Petunjuk itu sangat-sangat jelas, iaitu jika UMNO dikemudi oleh Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO, maka kejayaan besar dan gemilang UMNO akan berulang sebagaimana PRU11 ketika diterajui oleh Pak Lah. Ketika itu, Pak Lah membawa imej ‘Mr. Clean’. Hari ini, Ismail Sabri juga membawa imej clean lagi humble sangat-sangat memikat hati Nurani rakyat.

Jika kita kembali ke era Tun Dr. Mahathir, berkuasa penuh selama 22 tahun dalam UMNO dan Kerajaan, tetapi satu-satunya Tun M tidak dapat lakukan ialah menyatukan parti-parti pembangkang utama seperti DAP dan PKR untuk bersetuju berganding bahu menyokong Kerajaan dari luar.

Najib sendiri, menguasai penuh kerajaan dan UMNO selama 9 tahun tidak mampu mengawal DAP dan PKR.

Namun, di bawah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, DAP dan PKR bukan sahaja tumbang di Melaka tetapi menyembah bumi di PRN Sarawak.

Maka, argument apa lagi yang hendak dibentangkan untuk menguatkan hujah-hujah di sini. Dalam sains politik, anda tidak boleh membiarkan keadaan yang memihak kepada anda tidak digunakan sebaiknya. Peluang tidak datang dua kali. Sebab itulah Ketua Pemuda UMNO tidak menang-menang dalam pilihanraya, sebab sentiasa bertentang arus.

Lihatlah kesilapan Najib, penulis bukunya Romen Bose menyatakan Najib terlepas peluang untuk menang besar jika Najib mengadakan PRU14 pada bulan Jun-Disember 2017.

Pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir dan BERSATU masih kelam-kabut untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR. Malangnya, Najib mahu juga menunggu persempadanan semula, akhirnya Najib tumbang kerana keadaan yang memihak kepadanya pada bulan Jun-Disember 2017 tidak digunakan.
Sekali lagi, peluang tidak akan datang dua kali. Ini teori Maslow juga.

Serupa kepada keadaan UMNO hari ini, keadaan hari ini memihak kepada UMNO dan BN. Ianya dibuktikan dalam PRN Melaka dan Sarawak. Ianya juga dibuktikan melalui laporan ekonomi antarabangsa mengenai ekonomi Malaysia. Sudah pasti angka-angka di Bursa Saham akan meningkat lagi jika negara kita mempunyai kepimpinan yang kuat dalam parti dan kerajaan, terutama kestabilan politik.

*New Hope*

Ismail Sabri adalah harapan baru, new hope kepada ahli perniagaan dalam dan luar negara.
Kepimpinan UMNO hendaklah pandang ke hadapan. Jangan lepaskan peluang yang ada, apatah lagi pakatan pembangkang semakin merudum di mata rakyat.

Bukan kita kata Zahid tidak baik menjadi Perdana Menteri, seluruh rakyat mengetahui kes mahkamahnya yang akan memberikan kesan buruk kepada UMNO. Keadaan ketika ini tidak memihak kepada Zahid, itu sahaja. Tidak ada kebencian kepada Zahid.

Begitu juga Najib, tidak ada kebencian tetapi kes mahkamah terutama kes 1MDB masih lagi belum selesai. Semasa PRU14, isu 1MDB penyebab utama UMNO dan BN tersungkur. UMNO dan Kerajaan pasti tidak mahu ia berulang lagi.
Mahu tidak mahu, satu-satunya calon yang diterima oleh Yang DiPertuan Agong sebagai Perdana Menteri pada Ogos lepas ialah Ismail Sabri, maka hari ini Ismail Sabri jugalah yang paling sesuai menjawat jawatan Presiden UMNO.

Fikir-fikirkanlah. Cerdik-cerdiklah sedikit. Keluarlah dari kepompong. Berfikirlah di luar kotak.

Dr. Zach
Pertama Complex, Kuala Lumpur
12.30am, 16.1.2022

Nota: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pandangan portal ini