KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Pahang kini sedang menjalankan siasatan berkaitan satu dakwaan penemuan ikan spesies Piranha Perut Merah yang habitat asalnya ialah di kawasan air tawar tropika Amerika Selatan di Lembangan Sungai Amazon.
Pengarahnya Roslan Abu Hasan dalam satu kenyataan berkata siasatan dibuat susulan maklumat dari seorang pemancing yang dilaporkan berjaya mendaratkan ikan berkenaan di kawasan Empangan Klau di Raub, Pahang dan kemudiannya penemuan itu dikongsi di media sosial.
“Dakwaan ini mungkin betul atau mungkin ia tidak tepat, tetapi kita akan buat siasatan mengenai perkara ini esok.
“Saya sudah gerakkan anggota ke sana (Empangan Klau) bagi mengumpul maklumat lanjut serta mengesahkan penemuan ikan larangan di negara ini,” katanya.
Dakwaan penemuan piranha berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesannya terhadap ekosistem air tawar sekiranya spesies itu benar-benar berada di perairan empangan tersebut.
Mengulas lanjut, Roslan berkata, pihaknya akan meneliti hasil siasatan berkenaan sebelum tindakan mitigasi sewajarnya diambil.
“Kami akan teliti perkara ini dan tindakan mitigasi akan diambil,” ujarnya.
Sekiranya disahkan ikan itu ialah Ikan Piranha Perut Merah atau Pygocentrus Nattereri, DOF akan menilai potensi kesannya terhadap ekosistem dan spesies ikan tempatan.



