Saya tiada niat hina agama Kristian, siapa DAP hendak menilai keikhlasan hati seseorang? – Noorazli

KUALA LUMPUR – Keikhlasan bukan sesuatu yang boleh ditimbang dengan neraca politik malah ia bukan boleh diukur berdasarkan satu perkataan yang kita suka atau tidak suka.

Ketua Umno Bahagian Sepang Datuk Noorazli Said menyatakan beliau telah menjelaskan bahawa dirinya tidak mempunyai niat untuk menghina agama Kristian, penganut Kristian, paderi mahupun biarawati.

“Saya mengambil maklum kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mendakwa permohonan maaf saya sebagai “tidak ikhlas”.

“Saya ingin bertanya dengan penuh hormat: siapakah kita sebagai manusia untuk menentukan apa yang ikhlas dan apa yang tidak ikhlas di dalam hati manusia lain?

“Saya juga mengakui bahawa rujukan saya kepada Mazmur 129 adalah tidak tepat, dan saya menerima teguran tersebut.

“Sekiranya apa yang saya sampaikan telah melukakan hati masyarakat Kristian, saya memohon maaf. Itulah pendirian saya. Malah ada Father di tempat saya menghubungi dan beri kata semangat kepada saya untuk terus buat baik,” katanya.

Namun kata Noorazli, apabila permohonan maaf itu pula dijadikan gelanggang untuk menentukan sama ada hati seseorang “ikhlas” atau “tidak ikhlas”.

“Saya fikir kita sudah melangkaui persoalan mengenai kenyataan saya dan mula cuba menghukum sesuatu yang hanya diketahui oleh orang yang mengucapkannya dan Tuhan.

“Menariknya, kitab Bible sendiri banyak mengajar manusia tentang kasih, belas kasihan dan pengampunan.

“Dalam Efesus 4:32, manusia diajar supaya berbuat baik, berbelas kasihan dan saling mengampuni. Dalam Kolose 3:13, manusia diseru supaya bersabar antara satu sama lain dan saling memaafkan apabila mempunyai perselisihan.

“Malah dalam Matius 6:14, terdapat ajaran yang sangat besar tentang kesediaan mengampuni kesalahan orang lain.

“Saya seorang Muslim. Saya patuh pada ajaran agama saya, dan atas prinsip yang sama saya menghormati kesucian agama-agama lain. Sebab itulah apabila ditegur bahawa rujukan saya kepada Mazmur 129 tidak tepat, saya tidak mempunyai masalah untuk mengakuinya. Saya tersilap pada rujukan tersebut dan saya terima,” katanya.

Tetapi ujar beliau, janganlah kita bercakap mengenai kasih dan toleransi pada satu ketika, kemudian apabila seseorang menghulurkan permohonan maaf, kita pula berlumba-lumba menjadi hakim kepada keikhlasan hatinya.

“Kalau setiap permohonan maaf mesti terlebih dahulu melepasi penilaian politik sebelum boleh diterima, sampai bila masyarakat kita mahu berdamai? Adakah ini politik nilai yg nak dibawa ke masa hadapan?

“Saya tidak meminta sesiapa melupakan apa yang berlaku. Saya hanya meminta supaya kita berlaku adil.

“Tegurlah saya jika saya salah. Kritiklah kenyataan saya jika tidak bersetuju. Tetapi jangan mendakwa mengetahui apa yang berada di dalam hati saya.

“Politik boleh berbeza. Agama boleh berbeza. Tetapi nilai kemanusiaan seperti kasih sayang, saling menghormati dan memaafkan sepatutnya mampu menemukan kita.

“Saya memilih untuk mengambil pengajaran daripada perkara ini dan bergerak ke hadapan dengan rasa hormat kepada semua agama kerana agama saya mengajarkan kasih sayang, toleransi dan saling memaafkan dan saya berharap mereka yang mengkritik saya juga bersedia melakukan perkara yang sama.

“Kita tidak perlu seagama untuk saling menghormati. Kita tidak perlu sependapat untuk saling memaafkan. Dan kita tidak perlu menjadi hakim kepada hati manusia untuk memilih jalan perdamaian,” kata Noorazli.

Sebelum itu, media melaporkan beberapa wakil rakyat DAP menolak permohonan maaf bersyarat Ketua Umno Sepang berhubung jenakanya membabitkan seorang paderi Katolik dan biarawati ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, permohonan maaf tidak sepatutnya dijadikan “butang reset” selepas seorang ahli politik melampaui batas.

“Pertanggungjawaban politik tidak boleh sekadar bermaksud memohon maaf selepas melampaui batas. Ia juga mesti bermaksud mempunyai pertimbangan untuk tidak melampaui batas itu sejak awal lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Syerleena berkata pembelaan itu memburukkan lagi keadaan kerana pemimpin politik sepatutnya mempunyai pertimbangan mencukupi untuk tidak mengulang semua perkara yang ditemui dalam talian di pentas awam.

Katanya, kontroversi itu mencerminkan budaya “cakap dulu, minta maaf kemudian” yang berulang dalam politik Malaysia.

“Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Umno bukan sekadar terlepas cakap. Noorazli memilih untuk menyampaikan jenaka berbaur seksual yang membabitkan seorang paderi Katolik dan seorang biarawati,” katanya.

Sementara itu, penolong setiausaha organisasi kebangsaan DAP Lee Chin Chen berkata respons Noorazli tidak boleh dianggap ikhlas kerana ia mengalihkan beban kepada pihak yang tersinggung, bukannya mengakui kesalahan.

Manakala, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa polis menyiasat sama ada kenyataan Noorazli melanggar mana-mana undang-undang atau boleh menjejaskan keharmonian antara agama.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat